99 penduduk syukur terima LPS

Iklan
Mukhriz menyampaikan bantuan 'touch point' kepada nelayan setempat.

JERLUN - Seramai 99 penduduk di sekitar Kuala Jerlun lega apabila menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam.

Permohonan mereka adalah sebahagian daripada lebih 800 permohonan LPS dan geran di seluruh negeri pada mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah yang dipengerusikan Mukhriz di Wisma Darul Aman, kelmarin.

Iklan
Iklan

Mukhriz berkata, pemberian LPS adalah satu kebenaran oleh pihak kerajaan kepada rakyat untuk pendudukan sementara di atas tanah rizab kerajaan dan juga merupakan proses awal dalam urusan proses pemberimilikan tanah.

Menurutnya, kelulusan pada suku tahun pertama ini secara tidak langsung turut memberi pulangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 juta dan masih ada tiga lagi mesyuarat yang akan diadakan dalam tahun ini untuk menyemak setiap permohonan LPS.

Iklan

"Bagi mempercepatkan proses pemberian LPS, pihak berkuasa negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan telah membenarkan Pentadbir Tanah Daerah untuk meluluskan permohonan LPS bagi tanah desa untuk maksud pertanian dan kerja kampung.

"Alhamdulillah, pemberian LPS untuk hari ini (semalam) melibatkan seramai 99 orang di Kuala Jerlun. Jumlah keseluruhan permohonan yang diterima Pejabat Tanah Kubang Pasu adalah sebanyak 145 permohonan. Terdapat baki 20 orang yang belum membuat pembayaran LPS ini," katanya pada Majlis Menteri Besar Kedah bertemu Komuniti Perikanan Kuala Jerlun di Jeti Kuala Jerlun, dekat sini.

Iklan

Pada majlis itu, penyerahan bantuan touch point kepada nelayan setempat turut dilakukan.

Mukhriz (duduk, tengah) bersama penerima LPS di Jeti Kuala Jerlun, dekat sini.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, beliau mengingatkan bahawa LPS mempunyai bayaran tahunan yang perlu dijelaskan sebelum 31 Disember dan mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan dapat membuat pembayaran tahunan LPS akan dipertimbangkan untuk pemberian geran hakmilik.

Jelasnya, dengan adanya LPS dan geran, penduduk yang terlibat mudah untuk memohon bantuan bagi membina dan membaiki rumah daripada agensi kerajaan yang terlibat.

"Selain itu, dengan pemberimilikan tanah, penduduk boleh menikmati faedah-faedah ke atas urusniaga tanah tersebut di samping dapat mewarisi tanah tersebut kepada generasi seterusnya.

"Pemberian LPS ini juga hasil kepada pihak kerajaan dan juga memberi manfaat kepada penduduk. Ia sebenarnya satu keadaan menang-menang, yang mana kedua-dua pihak mendapat manfaatnya. Selain itu, ia dapat membantu merancakkan lagi ekonomi di kawasan ini," katanya.

Tambah Mukhriz, pemberian LPS juga bukti keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang menduduki tanah tersebut sejak berpuluh tahun lalu.

"Diharapkan agar rakyat dapat memanfaatkan sebaik mungkin LPS yang diberikan ini dan dapat membayar segala fee yang dipinta bagi tujuan proses pengeluaran geran nanti," katanya.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin.