TUMPAT - Bukan derita baharu yang dialami oleh lebih 300 penduduk pulau di Teluk Renjuna, di sini bahkan sudah melebihi lima tahun mereka ‘dahagakan’ bekalan air bersih.
Penduduk, Mahadi Mahmud, 45, berkata, bekalan air paip di rumahnya di kampung itu sudah kering sejak tahun 2017 hingga memaksa mereka memunggah bekalan air dari Sungai Kelantan yang berhampiran untuk kegunaan harian.
Katanya, keadaan air sungai yang payau dan kadang-kala masin itu menjadi sumber utama penduduk di kampung tersebut yang digunakan untuk mandi, membasuh pakaian dan mencuci pinggan.
"Penat dengan rutin memunggah air sungai ke rumah, kami sambungkan pula paip dan pam air dari sungai untuk disalurkan sehingga ke dalam rumah.
"Air tersebut pula akan dibiarkan seminggu di dalam tong supaya lumpur mendap sebelum dapat digunakan tetapi air masih lagi keruh, kotor dan tidak bebas penyakit,” katanya ketika ditemui di pulau berkenaan di sini pada Rabu.
Seorang suri rumah, Rohana Mahat, 50, berkata, kegunaan sumber air untuk makan dan minuman pula terpaksa dipunggah sejauh kira-kira satu kilometer dari loji air statik yang disediakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Jeti Kok Majid.
"Perjalanan untuk mengambil air perlu menaiki bot yang melawan arus di sungai itu menuju ke Jeti Kok Majid serta terpaksa gigih memunggah satu persatu gelen air seberat 10 liter.
"Kudrat wanita macam kami sememangnya tidak mampu menanggung berat segelen air dan akan mengalami sakit-sakit badan atau demam akibat penat memunggah air,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Rabiah Abdul Rahman, 48, berkata, penduduk dan ketua kampung bersepakat mengusahakan sebuah tangki air berkapasiti 500 gelen daripada AKSB dan mengutip sumbangan RM1 sehingga RM5 setiap orang untuk membina simen di lokasi tangki diletakkan dengan menyalurkan air sejauh 800 meter dari Kampung Seri Tanjung ke dalam tangki itu.
"Masih sama, kadang tangki pun tak ada air dan kalau ada masih perlu punggah air tetapi jaraknya lebih dekat. Di sini ada lebih 45 rumah penduduk dan setiapnya ditetapkan boleh mengambil enam gelen air sahaja pada setiap hari kerana air tersebut perlu dikongsi.
"Waktu selepas solat Subuh dan sebelum Maghrib, kawasan ini akan dipenuhi dengan tong-tong air milik penduduk yang beratur untuk mengisi air bagi kegunaan keperluan minuman dan makanan mereka,” katanya.
Seorang lagi penduduk pulau berkenaan, Muhamad Zaiful Hadi Abd Latif, 27, amat berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi rakyat di kepulauan itu dan mengambil langkah segera untuk memulihkan keadaan.
"Masalah tidak ada bekalan asas ini menyebabkan kesusahan kepada penduduk terutama warga emas yang terpaksa memunggah air setiap hari manakala kanak-kanak pula demam dan gatal-gatal kulit akibat mandi air sungai.
"Kalau guna sistem boring air akan menyebabkan kulit badan, kuku dan pakaian semua bertukar menjadi warna biru kerana punca air daripada akar pokok kelapa yang tumbuh di dalam tanah di kawasan pulau ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar AKSB, Datuk Dr Ir Azuhan Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian memberikan khabar gembira kepada penduduk di Teluk Renjuna apabila memaklumkan bahawa masalah air di lokasi itu dijangka dapat diatasi dengan pembinaan Projek Loji Rawatan Air (LRA) sementara di Kampung Laut, di sini.
”Projek dalam peringkat tender dan dijangka siap pada Ogos ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah air secara berperingkat kepada rakyat di negeri ini terutama di kawasan Teluk Renjuna.
"Bekalan air yang tidak mencukupi dan kedudukan geografi Teluk Renjuna yang jauh dari LRA di Wakaf Bharu menyebabkan kawasan ini terputus bekalan air,” katanya.