MAINJ peruntuk RM3 juta bantu mangsa banjir

Iklan
Tosrin (depan,tengah) pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir 'Kami Bantu Banjir Johor' ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Sebanyak RM3 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, menerusi peruntukan itu Pejabat Daerah Segamat menerima RM305,000 diikuti Pejabat Daerah Tangkak (RM268,500) dan Pejabat Daerah Muar (RM168,500).

Iklan
Iklan

Katanya, peruntukan sama juga akan digunakan untuk membaik pulih enam buah masjid yang terjejas teruk iaitu tiga buah masjid di Segamat diikuti Tangkak (dua) dan Muar (satu).

"Bantuan disalurkan dalam bentuk wang tunai dan juga barangan. Peruntukan sebanyak RM3 juta ini mampu memanfaatkan seramai 500 hingga 800 mangsa banjir yang terkesan.

Iklan

"Peruntukan yang diberikan ini adalah bantuan awalan. Sekiranya jumlah RM3 juta ini tidak mencukupi, MAINJ akan memberikan peruntukan tambahan untuk membantu lebih ramai mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir"Kami Bantu Banjir Johor" ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar, di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Seramai 200 orang terdiri daripada kakitangan MAINJ yang melibatkan Briged Ansar dan kakitangan JAIJ meliputi Briged Aswaja akan bergerak ke Segamat pada Khamis.

Sebelum ini, Briged Ansar dan Briged Aswaja turut terlibat dalam misi bantuan banjir di Batu Pahat serta di Pekan dan Mentakab, Pahang.

Tosrin menambah Masjid Liang Batu dan Sekolah Agama Liang Batu di Muar yang terjejas teruk akibat banjir masing-masing menerima bantuan peruntukan RM30,000 dan RM20,000.

Jelasnya lagi, bantuan lain yang ditawarkan MAINJ ialah bantuan kerosakan rumah, harta benda dan bantuan persekolahan anak-anak yang terjejas akibat banjir.

"Mangsa terjejas layak untuk menerima bantuan minima RM5,000, bergantung kepada jenis kerosakan yang dialami akibat bah," katanya.