BANTING - Banjir yang melanda negeri Selangor pada 18 Disember lalu meninggalkan impak yang sangat besar kepada penduduk yang terjejas.
Sehingga kini masih ramai mangsa banjir yang memerlukan bantuan bagi urusan baik pulih kediaman termasuk memerlukan peralatan rumah yang baharu.
Bagi meringankan beban mangsa, Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) tampil membantu membaik pulih secara percuma ratusan barangan elektrik yang rosak akibat banjir ketika Misi Bantuan Banjir di sini, baru-baru ini.
Pengarah Kolej KEDA, Che Ridzuan Mohamad Isa berkata, Skuad Misi Banjir Kolej KEDA dengan kekuatan 30 pelajar dan kakitangan berjaya menyantuni 40 buah rumah di dua lokasi berbeza iaitu Kampung Jawa, Klang dan Kampung Tengah Bukit Changgang, Banting.
"Misi ini mempunyai dua matlamat utama iaitu konsep berilmu dan berbakti. Saya berharap pelajar yang terlibat dapat menggunakan ilmu yang dipelajari dengan membaik pulih barangan elektrik dan penyaman udara di sini.
"Pada masa sama, inilah bakti yang dapat diberikan untuk meringankan beban dan kerugian yang ditanggung mangsa ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang mengetuai misi itu berharap pelajar yang terlibat akan menjadikan program berkenaan sebagai medan latihan dan menambah pengalaman di samping mengukuhkan semangat kerjasama antara mereka.
Sementara itu, pelajar Kursus Teknologi Elektrik, Muhammad Naim Sukri akui bertuah menyertai misi ini kerana dapat mendengar keluhan mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
"Saya rasa bersemangat untuk membantu membaiki peralatan elektrik mereka dengan berbekalkan ilmu yang saya pelajari di Kolej KEDA. Semoga apa yang kami lakukan di sini dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Muhammad Muzakir Salleh menyifatkan peluang belajar di Kolej KEDA yang mempunyai tenaga pengajar dan peralatan lengkap ternyata dapat membantunya dalam usaha membaik pulih penyaman udara dalam misi ini.