LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM14 juta apabila menahan sebuah bot barter trade kira-kira 2.7 batu nautika, barat Tanjung Belua, di sini pada Rabu.
Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot yang dinamakan KM Bintang Jaya disyaki dari Thailand itu berjaya ditahan pada jam 4 pagi dan hasil pemeriksaan menemui sebanyak 1,950 kotak bungkusan mengandungi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenis yang cuba dibawa masuk ke negara ini.
Menurutnya, selain 97,500 karton rokok tersebut, turut ditemui 39 guni berisi tembakau dengan nilai anggaran RM780,000.
"Selain bot barter trade, barang rampasan, Maritim turut menahan tekong bersama tujuh kru bot berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun disyaki warga Indonesia.
"Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan dan diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.
Mohd Zawawi memaklumkan, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan Maritim Kedah/Perlis berhubung aktiviti jenayah penyeludupan di perairan Kedah, terutamanya di jalur sempadan perairan Malaysia-Thailand, selain kerjasama erat bersama penguat kuasa negara jiran.
"Kita lakukan serbuan setelah menerima maklumat mengenai pergerakan suspek di perairan negara oleh sebuah bot ronda Maritim Malaysia, seterusnya berjaya mengesan kedudukan bot yang disyaki dinaiki suspek, dan berjaya memintas mereka untuk pemeriksaan,” katanya lagi.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,417,500 merangkumi sebuah bot barter trade, 97,500 karton rokok pelbagai jenis serta 39 guni tembakau.
"Hasil siasatan awal mendapati, modus operandi penyeludupan barang terlarang rentas sempadan ini dipercayai dibawa dari Thailand untuk dipasarkan ke pasaran tempatan menggunakan taktik pemalsuan ‘stamp duty paid’ pada kotak-kotak rokok berkenaan,” katanya.
Mohd Zawawi berkata, pihaknya percaya aktiviti penyeludupan rokok dalam kapasiti besar seperti itu didalangi oleh sindiket antarabangsa yang turut melibatkan ejen darat dan laut dalam kalangan warga tempatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 49(1) dan 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba membawa masuk rokok seludup ke Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa menggunakan pintu sah,” katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang dan mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang jenayah mahupun kecemasan di laut secara terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999.