SEREMBAN - Seorang lelaki warga Pakistan berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga India pada 3 Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Hassan, 25, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pekerja am didapati membunuh Vishavdeep Singh, 22, pada 3 Januari lalu antara jam 12.37 tengah malam dan 1.50 pagi di sebuah rumah di Taman Happy, Jalan Pantai, Port Dickson.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Norzaliza menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari depan dan tiada jaminan ditawarkan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga India maut dipercayai akibat ditikam oleh rakan serumahnya dalam pergaduhan di sebuah rumah di taman perumahan terbabit.
Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi dan menangkap seorang lelaki warga Pakistan yang juga rakan sekerja mangsa di hadapan rumah tersebut kira-kira jam 2.35 pagi.
Siasatan awal polis mendapati mangsa bersama suspek menikmati minuman keras di dalam bilik di bahagian atas iaitu bilik suspek.
Selepas itu, berlaku pertengkaran mulut sehingga mangsa ditikam dengan sebilah pisau dan disahkan meninggal dunia di bahagian dapur di tingkat bawah rumah berkenaan.