PORT DICKSON - Seekor buaya tembaga sepanjang dua meter ditemui mati di Pantai Cermin di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan bangkai buaya berkenaan pada jam 9.10 pagi.
"Sebaik menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Port Dickson, anggota kita telah ke lokasi membuat pemeriksaan.
"Buaya itu mempunyai berat lebih kurang 100 kilogram dengan panjang lebih dua meter. Ia dipercayai telah mati antara satu atau dua hari," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, bangkai buaya itu telah dibawa ke Pejabat Perhilitan untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Sementara itu, orang awam, Nur Fazilah Md Ali, 35, yang bersantai dengan keluarga di pantai itu pada awalnya menyangka buaya itu masih hidup.
"Kami pun terkejut juga apabila nampak buaya dan saya telah arahkan anak-anak supaya tidak menghampiri haiwan itu kerana bimbang ia bertindak ganas.
"Tapi rupa-rupanya haiwan itu dah mati," katanya.
Penduduk, Mohd Adli Aziz, 42, pula berkata, tidak menyangka pantai Port Dickson ada buaya kerana selama ini hanya mendengar cerita.
Ujarnya, meskipun sering mencari ketam dan menjala ikan di pantai Port Dickson, dia tidak pernah terserempak dengan haiwan terbabit.
"Memang pernah dengar yang ada buaya di pantai Port Dickson tetapi saya tidak pernah nampak atau jumpa hinggalah saya dimaklumkan terdapat seekor buaya di sini yang sudah mati dan sedikit berbau," katanya.