Pembantu penguat kuasa MPS didakwa enam pertuduhan rasuah

Iklan
Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat tiga tahun lalu.Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat tiga tahun lalu.

Firdaus Azad Ab Hamid, 37, didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM5,500 daripada Pengarah Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd iaitu Yip Kok Kuin sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan permit tahunan sementara.

Iklan
Iklan

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Dia juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu meminta rasuah RM5,500 daripada individu yang sama sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan permit tahunan sementara di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Firdaus Azad juga menghadapi tiga pertuduhan pilihan iaitu menerima suatu barang berharga iaitu wang berjumlah RM5,500 tanpa balasan daripada individu yang sama yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pembantu penguat kuasa dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Iklan

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Februari 2019 hingga 12 November 2019 di sebuah bank di Shah Alam.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 Februari bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama