RM13 juta pinjaman Tekun untuk usahawan Perak

Iklan
Zainol Fadzi (dua dari kanan) menyerahkan dokumen pinjaman yang diluluskan kepada Mohammed Shofni Khoiri ketika Program Walkabout Usahawan Tekun di Angsana Mall Ipoh pada Khamis.

IPOH - Usahawan mikro, kecil dan sederhana di Perak digesa merebut peluang untuk memohon dana RM13 juta yang diperuntukkan Tekun Nasional (Tekun) kepada negeri ini bagi membantu memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM200 juta yang diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak awal Januari sehingga kini, sebanyak sebanyak RM1.3 juta dana telah disalurkan kepada lebih 100 usahawan di Perak bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Maksimum pinjaman yang diberikan sebanyak RM10,000 tetapi ada usahawan yang pinjam RM5,000. Tengok keperluan sebab ada moratorium bayaran balik dalam tempoh 12 bulan, jadi memang dana ini untuk membantu memulihkan usahawan yang terkesan.

Iklan

"Jadi kita minta usahawan di negeri ini rebut peluang sebab jumlahnya agak terhad sebanyak RM13 juta itu jika purata RM10,000, jumlah keseluruhannya 1,300 orang sahaja yang dapat peluang," katanya kepada pemberita ketika Program Walkabout Usahawan Tekun di Angsana Mall Ipoh, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada program tersebut, Pengurus Tekun Perak, Mohd Anuar Salleh.

Iklan

Zainol Fadzi berkata, dana tersebut disediakan menerusi pakej baharu yang diumumkan kerajaan dengan memberi peluang kepada usahawan sedia ada mendapatkan bantuan kewangan untuk memulihkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sempena program walkabout tersebut, sebanyak 10 usahawan yang berada di Angsana Mall menerima bantuan dengan nilai keseluruhan RM177,000.

Sementara itu, seorang usahawan, Azah Nur Omar, 48, berkata, pinjaman Tekun yang diterimanya amat membantu sebagai modal untuk menambah lebih banyak produk di kedainya.

Menurutnya, selain itu, dana yang diberikan juga akan digunakan untuk memberikan latihan kepada pekerja-pekerja dengan kemahiran baharu.

Seorang lagi penerima dana Tekun, Mohammed Shofni Khoiri Hashim, 42, berkata, pinjaman tersebut merupakan kali kedua yang dipohon bagi membantu perniagaannya yang selama ini terjejas akibat pandemik.

Jelasnya, dengan pinjaman tersebut ia sedikit sebanyak menambah modal sedia ada bagi membeli bahan mentah dan keperluan perniagaan yang lain.