"KITA boleh buat, jangan takut game ni, kita boleh makan team ni.”
Kata-kata semangat yang sering dilontarkan oleh mendiang Serbegeth Singh kepada rakan sepasukan di bilik persalinan sebelum turun ke padang dan ia bermain di fikiran bekas rakan seperjuangan Dollah Salleh, sejurus menerima berita pemergian mengejut Serbegeth atau lebih dikenali dengan panggilan Shebby pada Rabu.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu pernah beraksi bersama Shebby ketika mewakili pasukan Johor pada tahun 1982 dan 1983 mengakui kehilangan seorang sahabat yang mempunyai perwatakan tegas mirip legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun.
"Saya memang rapat dengannya sewaktu bermain di Johor dahulu. Sebagai seorang ketua pasukan, Shebby boleh dikatakan seorang yang ‘mulut bising’ menerusi arahan serta nasihat diberikan kepada rakan sepasukan ketika bermain,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Bukan sahaja bola sepak, malah Dollah memaklumkan mendiang juga sering menasihatinya untuk menjaga hubungan kekeluargaan memandangkan Shebby cukup rapat dengan keluarganya.
"Beliau sangat baik dengan rakan-rakan termasuk isteri saya, semua orang senang dengannya,” tambahnya.
Bekas pengendali Sri Pahang FC itu turut berkongsi kisah menarik mengenai Shebby apabila mendiang tidak pernah lekang membaca majalah bola sepak ternama dari England, Shoot! sewaktu perkenalannya sebelum ini.
Justeru, katanya, tidak hairanlah mengapa bekas tonggak pertahanan negara yang juga pakar tendangan jarak 20 hingga 30 meter itu mempunyai ilmu sangat luas sehingga dapat memberi ulasan atau komentar dengan terperinci ketika menjadi tetamu rancangan bola sepak sebelum ini.
Sementara itu, seorang lagi rakan sepasukannya, Mohamed Razip Ismail yang juga generasi emas skuad Kuala Lumpur ketika membantu pasukan itu memenangi hatrik Piala Malaysia dari tahun 1987 hingga 1989 bersama Shebby menyifatkan mendiang seorang yang lantang di atas padang namun sangat mesra di luar padang.
Bekas pemain pertahanan berusia 59 tahun itu mengakui sangat bertuah dapat bermain bersama Shebby yang dianggapnya sebagai pemain berdedikasi tinggi dan cukup berdisiplin ketika sesi latihan.
Mohamed Razip yang pernah membimbing pasukan Kuala Lumpur dan Perlis itu juga kagum dengan aspek kepimpinan dimiliki Shebby terutama dalam memberi motivasi kepada pemain muda untuk memperbaiki prestasi mereka ketika bermain.
Ketua Unit Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut terhutang budi dengan Shebby yang turut menjadi watak penting dalam membantunya berjinak-jinak dalam dunia pengulasan sukan tidak lama dahulu.
Mendiang Shebby semasa zaman kegemilangannya bermain di posisi pertahanan dan beraksi buat skuad kebangsaan dari tahun 1982 hingga 1991, serta pernah beraksi dalam Kejohanan Sukan Asia 1982, 1986 dan 1990 selain membantu negara memenangi pingat emas di Sukan SEA 1989 Kuala Lumpur.
Selain itu, mendiang juga beraksi bersama skuad bola sepak Pahang pada era 90-an serta pernah menyarung jersi Negeri Sembilan dan Perak.
Selepas bersara sebagai pemain, mendiang mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula tahun 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports serta ESPN Asia selain pernah berkhidmat sebagai Penasihat Global di Blackburn Rovers pada tahun 2012 dan Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).
Shebby, 61, meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, Johor pada petang Rabu. - Bernama