PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membangunkan satu sistem baharu iaitu e-Locker bagi menambah baik sistem pengurusan warga asing agar lebih berkesan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada penggunaan data raya secara optimum dalam pengurusan warga asing, sekali gus bagi menangani isu pendatang asing di Sabah.
Beliau berkata, sistem berkenaan telah diperkenalkan di beberapa negara antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan India.
"Pembangunan sistem ini akan memberi manfaat kepada kerajaan, negara sumber, majikan dan pekerja asing apabila dokumen pekerja asing seperti pasport, visa dan pas bekerja boleh diakses secara digital," katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN di sini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, KDN juga terus komited dalam meningkatkan ketelusan proses pemerolehan kewarganegaraan bagi pemohon yang layak berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Beliau berkata, usaha untuk mengarusperdanakan pendigitalan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat juga akan diteruskan oleh kementeriannya bagi tahun ini menerusi pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan Identiti Digital Nasional (IDN).
Sementara itu, Hamzah berkata, KDN kini sedang membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
"NAPPCVE ini bersifat holistik dan mengambil kira faktor kepelbagaian agama, kaum dan budaya di Malaysia serta melibatkan semua pemegang taruh dan pihak-pihak berkepentingan daripada sektor awam mahupun swasta," katanya.
Beliau memaklumkan, kementeriannya juga memberi fokus pada aspek pengurusan pertubuhan di Malaysia dengan dana peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta di bawah program Malaysia Incentive Community Empowerment (MyICe).
"Dana di bawah program itu adalah untuk dimanfaatkan oleh 2,000 pertubuhan di bawah kategori kebajikan, hak asasi dan keselamatan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)," katanya.
Selain itu, akta perundangan seperti Akta Penjara 1995, Akta Kesalahan Keselamatan 2012 dan Akta Agensi Persendirian 1971 dan prosedur operasi standard (SOP) juga akan diteliti semula oleh KDN agar sentiasa relevan dalam memastikan pelaksanaannya kekal efisien dan sistematik.
Mengulas mengenai pencapaian KDN pada tahun 2021, Hamzah menzahirkan rasa bangga susulan kejayaan dicapai kementeriannya selari dengan matlamat Aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun lepas.
"Saya bangga dengan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari yang mana KDN telah capai 100 peratus inisiatif yang disasarkan. Pencapaian KPI kita secara keseluruhan bagi tahun 2021 adalah 95.3 peratus. Syabas kepada semua warga KDN," katanya. - Bernama