Pesakit boleh mengadu di saluran rasmi, bukan media sosial

Iklan
Amrahi Buang

SHAH ALAM - Pesakit mempunyai hak untuk mengadu namun perlu melalui saluran rasmi fasiliti kesihatan dan bukan di media sosial yang tidak terkawal, kata Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang.

Ujar beliau, tindakan mengadu di media sosial itu tidak membawa faedah kepada mana-mana pihak kerana pelbagai anggapan telah digunakan serta ia tidak semestinya benar.

Iklan
Iklan

"Pesakit selalu betul (‘patient is always right’) adalah satu pandangan yang kurang tepat kerana pesakit juga boleh melakukan kesilapan dan perlu diperbetulkan untuk mendapat perkhidmatan dari fasiliti kesihatan.

"Pesakit ada hak (‘patient has a right’). Ini adalah benar.

Iklan

"Tanggungjawab pesakit (‘patient responsibility’) juga penting kerana untuk memberi perkhidmatan yang baik di fasiliti kesihatan, seorang pesakit perlu melaksanakan tanggungjawabnya terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin, tular di media sosial mengenai seorang pegawai Hospital Kuala Lumpur (HKL) didakwa biadab terhadap seorang pesakit yang berurusan di farmasi hospital berkenaan.

Iklan

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, setiap staf khususnya di kaunter perlu diberikan latihan dalam aspek komunikasi pelanggan yang berkesan.

"Pesakit bermasalah (‘difficult patients’) perlu ditangani secara tertib. Jika staf di kaunter tidak mampu untuk menangani pesakit sedemikian, mereka boleh merujuk pesakit kepada penyelia atau pegawai atasan.

"Bantuan petugas keselamatan boleh juga digunakan atau dimanfaatkan jika staf kaunter diancam secara fisikal dan mental,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya ada isu kawalan inventori, ia perlu diberitahu kepada staf dan para pesakit agar mereka memahami keadaan sebenar.

"Langkah-langkah pencegahan yang berkesan perlulah dilaksanakan. Dalam keadaan yang serba mencabar pada masa kini, sikap bersabar, ihsan, menghargai dan memahami tindakan dan sikap orang lain amatlah perlu dimiliki oleh semua.

"Ia kerana sebarang ujian yang dilalui itu sebenarnya merupakan petunjuk dan indikator tentang siapa kita sebenarnya dan pada tahap mana kita berada,” menurutnya.