MELAKA - Padah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), seorang peniaga didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Khamis.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Seng Hock Siong, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual peralatan tidak diperakui SKMM itu.
Hock Siong mengaku menjual dua unit walkie-talkie (licensed) jenama Baofeng model UV-9R tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di Melaka Central di sini pada 1.09 tengah hari, 4 Julai 2020.
Hock Siong juga mengaku memiliki dengan tujuan menjual tujuh unit walkie-talkie jenama Baofeng pelbagai model tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan sama, pada 1.49 tengah hari, 5 Mei 2021 di premis yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-Peraturan sama, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa SKMM, Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah mengenakan denda setimpal terhadap Hock Siong yang kali pertama melakukan kesalahan itu agar menjadi pengajaran kepada OKS serta orang ramai untuk tidak mengulangi kesalahan seperti itu.
Hock Siong yang tidak diwakili peguam, mengaku telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Untuk itu Nariman menetapkan denda sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan barang kes dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dan diserahkan kepada pengawai penyiasat untuk dilupuskan, selaras dengan Seksyen 260 Akta Komunikasi dan Multimedia. - Bernama