PUTRAJAYA - Harga runcit maksimum vaksin Covid-19 iaitu CoronaVac keluaran Sinovac ditetapkan pada RM77 manakala RM61 untuk Covilo keluaran Sinopharm.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan bersama berkata, harga borong bagi CoronaVac pula adalah RM62 dan RM49 untuk Covilo.
"Harga borong dan runcit maksimum bagi kedua-dua vaksin ini adalah berkuat kuasa Sabtu ini bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011," kata mereka pada Khamis.
Menurut mereka, harga runcit maksimum yang ditetapkan itu tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang digunakan ketika suntikan vaksin Covid-19.
"Penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa," katanya.
Menurut kenyataan itu, pemberian vaksin adalah percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan diberikan secara sukarela kepada semua penduduk Malaysia untuk perlindungan imuniti.
Selain itu, kata mereka, rakyat juga boleh mendapatkan vaksinasi Covid-19 mengikut pilihan sendiri secara berbayar di hospital dan klinik swasta yang telah diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kerajaan mendapati harga vaksin Covid-19 yang ditawarkan di sektor swasta masih tinggi dan berbeza-beza.
"Pastinya kadar tersebut akan membebankan rakyat terutama di saat negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya.
Tambah mereka, penentuan harga maksimum secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.
"Senarai dan harga vaksin Covid-19 akan dikaji secara berterusan serta ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa," kata mereka.
Setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menawarkan 'private-purchase vaccination' diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin Covid-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.
"Dengan ini orang ramai boleh membuat perbandingan dan mendapatkan vaksin Covid-19 pada harga yang berpatutan mengikut pilihan pengguna.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu, syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini," katanya.
Tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan ke atas mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan.
"Kerajaan telah menyediakan medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.
"Jika didapati ada individu atau syarikat yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan harga maksimum ini, pengguna boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM https://moh.spab.gov.my," kata mereka.