Penternak ayam rugi puluhan ribu akibat banjir

Iklan
Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Muhammad Amirul Farie (dua dari kiri) ketika melawat tapak reban ayam kampung di Kampung Baru Bentong pada Khamis.

BENTONG - Seorang penternak ayam kampung mengalami kerugian kira-kira RM17,000 akibat banjir besar yang melanda di Bentong baru-baru ini.

Muhammad Amirul Farie Azman, 36, dari Kampung Baru Bentong di sini kehilangan 300 ekor ayam yang dihanyutkan akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, air naik terlalu cepat menyebabkan dia tidak dapat menyelamatkan ternakan tersebut yang sudah matang untuk dijual.

"Memang tidak dapat selamatkan ayam kerana keadaan kelam-kabut ketika itu dan saya hanya dapat membuka pintu reban.

Iklan

"Air surut selepas beberapa hari dan semuanya hanyut termasuk peralatan yang ada selain ayam," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Amirul Farie ditemui ketika lawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah di kampung tersebut.

Iklan

Dalam lawatan itu, Muhammad Amirul Farie yang juga antara Agropreneur Muda di daerah tersebut menerima bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Muhammad Amirul Farie berkata, keadaan banjir besar itu langsung tidak dijangka menyebabkan dia tidak membuat persediaan untuk situasi tersebut.

"Kali terakhir banjir besar pada 2006 dan selalunya paras air tidak setinggi mana berbanding baru-baru ini hingga hampir tiga meter.

"Saya mungkin perlukan masa sebulan lagi untuk meneruskan ternakan ini yang telah diusahakan sejak 2012 hingga kini," katanya yang mempunyai lima reban ayam.