SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak awal dengan merancang pembangunan ke arah kelestarian alam sekitar dan pelan jangkaan yang akan berlaku terhadap ekosistem negara pada tahun 2050 bermula dari sekarang.
Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damian Thanam Divean berkata, kerajaan banyak menyediakan bantuan dana untuk membaiki kerosakan dan membayar ganti rugi kepada rakyat yang terjejas.
"Tetapi kita belum melihat pelan kerajaan untuk mitigasi dan menguatkan servis ekosistem yang kita dapat secara percuma dari alam sekitar.
"Jadi mungkin akan terlalu lambat untuk kita mengambil tindakan di kemudian hari jika tiada sebarang rancangan drastik yang dimulakan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah, Tsunami Balak dan Bah yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia dan Penasihat Kanan Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Mengulas lanjut, Damian berkata, negara mempunyai ramai pakar dengan latar belakang alam sekitar, namun mereka hanya dijemput untuk memberikan pandangan setelah bencana berlaku.
Tambahnya, pelbagai idea dan rancangan telah dikeluarkan di universiti awam sendiri, tetapi tidak diambil kira kerana ia akan mengurangkan keuntungan kepada kerajaan negeri.
"Keuntungan ada di bukit yang berhutan, jadi mereka nak potong hutan tersebut dan jana keuntungan sekelip mata. Selepas hutan dipotong, perbelanjaan besar diperlukan untuk membaiki infrastruktur yang rosak dan beri bantuan kepada mangsa-mangsa terjejas,” katanya.
Jelas beliau, salah satu cara untuk mengatasi isu tersebut dengan kerajaan pusat boleh memberikan pelupusan hutang kepada kerajaan negeri dengan syarat hutan-hutan tidak dipotong.
"Ini adalah satu cara tapi memerlukan kebolehan atau kehendak politik, mahukah mereka ambil?
"Ia sebenarnya berbalik pada rasuah. Jika hutang dilupuskan dan hutan tidak dipotong, pengaliran masuk duit daripada elemen-elemen rasuah akan berhenti.
"Kena pastikan kita mempunyai pemimpin di peringkat negeri dan pusat yang benar-benar berkaliber dan bersih,” kata beliau.