Siasat projek perintis padi pulut di Langkawi

Iklan
Yaakob menunjukkan tanah sawah padi pulut yang kering kontang.

LANGKAWI – Peserta projek perintis penanaman padi pulut di Langkawi melahirkan kebimbangan apabila hasil pendapatan mereka merosot akibat pelbagai masalah dihadapi.

Ahmad Nayan, 54, berkata, antara masalah berkenaan adalah kelewatan memulakan kerja-kerja penanaman dan bekalan air tidak mencukupi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan hasil pendapatannya merosot sehingga 70 peratus pada musim menuai.

"Jika tidak berlaku masalah seperti itu, kami mampu peroleh RM1,600/relong seperti pesawah yang menanam padi biasa, tetapi malangnya kami yang tanam padi pulut di sini hanya dapat lebih kurang RM200/relong sahaja,” katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Ahmad juga bimbang masa depan pesawah padi pulut semakin malap memandangkan untuk mendapatkan hasil tuaian mengambil masa sekitar enam bulan berbanding padi biasa hanya empat bulan.

Sementara itu, Yaakob Saad, 74, berharap tindakan segera diambil oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi.

Iklan

"Kebanyakan peserta terlibat adalah pesawah miskin yang menyewa tanah sebanyak RM300 serelong tetapi hasil yang kami peroleh amat menyedihkan,” jelasnya yang mengusahakan tanaman padi pulut seluas tujuh relong.

Kasa Morad, 56, turut tidak berpuas hati dengan tahap kejayaan projek perintis ini dan meminta pihak pengurusan membayar pampasan kepada pesawah terlibat bagi meringankan beban ditanggung.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) segera menyiasat projek perintis yang dilancarkan pada 2019 itu susulan menimbulkan pelbagai masalah kepada pesawah.

Mohideen

"Projek yang diuruskan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) itu mempunyai 400 peserta yang mengusahakan penanaman padi pulut seluas kira-kira 2,000 relong sejak tiga musim lalu.

"Dalam tinjauan CAP, pesawah yang terlibat menyatakan masalah itu berpunca daripada kelemahan dan ketidaksempurnaan pengurusan projek tersebut menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil pendapatan dan kerugian besar,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Menurut kenyataan CAP, pihaknya mendapati kawasan sawah yang ditanam padi pulut kering kontang dan sebahagian besar pokok padi telah mati akibat ketiadaan bekalan air, manakala saliran dipenuhi semak kerana tidak dibersihkan.

"CAP simpati dengan pesawah ini dan berharap siasatan serta tindakan segera dilakukan oleh MAFI, Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan bagi memastikan keadaan itu tidak berlarutan. Mereka perlu pastikan kehidupan pesawah terbabit lebih terjamin,” katanya.

Katanya, diharap pesawah yang terjejas sumber pendapatan diberikan pampasan setimpal selain mahu MAFI mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil bagi menanganinya.