Orang awam anggotai empat badan SPRM

Iklan
Tricia Yeoh

SHAH ALAM - Empat badan yang mengawal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadangkan supaya dianggotai masyarakat sivil dan penjawat awam seperti yang diamalkan di Indonesia dan Korea.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, keahlian empat badan terbabit iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawantankuasa Aduan (CC), Panel Penilai Operasi (ORP) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) perlu terdiri daripada 40 peratus masyarakat sivil dan 60 peratus sektor awam.

Iklan
Iklan

Katanya, itu cadangan Rasuah Busters bersama enam rakan gabungan termasuk IDEAS, Transparency International Malaysia (TI-M), Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Undi18 dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) menerusi reformasi struktur SPRM.

"Inisiatif ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana sudah pun dilakukan di negara-negara seperti Indonesia dan Korea.

Iklan

"Penstrukturan ini akan pastikan mana-mana badan yang membuat siasatan terhadap rasuah adalah bebas daripada pengaruh eksekutif dan politik.

"Cadangan kami juga kesemua empat badan pengawal ini akan diserap sebagai kumpulan kerja di bawah Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SPBR)," katanya pada Sidang Media Rasuah Busters: 'Solusi Transformasi SPRM' di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Iklan

Tricia terdahulu turut memberikan penjelasan lanjut tentang cadangan gerakan itu kepada kerajaan agar diwujudkan SBPR iatu sebuah suruhanjaya yang diberi mandat oleh perlembagaan dan tanpa berada di bawah kawalan dan pengaruh eksekutif serta politik.

Menurutnya, SBPR akan melapor terus kepada Parlimen dan akan memberi pengawasan terhadap SPRM yang dicadang akan dinamakan semula sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

"Ini untuk memastikan kebebasan pesuruhjaya yang berkidmat dengan suruhanjaya tersebut dan menjamin tempoh perkhidmatan pengerusi dan persuruhjaya badan berkenaan.

"Ini adalah satu cadangan yang penting kerana sekarang ini sesiapa yang pegang jawatan boleh dijatuhkan apabila ada apa-apa perubahan kepada kerajaan seperti yang berlaku dua tiga tahun kebelakangan ini," ujarnya.

Beliau menegaskan, sekiranya transformasi struktur SPRM tidak dilakukan sekarang, kemungkinan isu yang berkait Ketua Pesuruhjaya dan kes rasuah dalam SPRM itu sendiri akan timbul lagi pada masa akan datang.