LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pada Rabu memohon maaf kerana menghadiri parti sosial di Downing Street ketika perintah lockdown pertama berkuat kuasa di seluruh negara.
Bekas Datuk Bandar London itu membuat pengakuan buat pertama kali setelah berdepan kecaman banyak pihak termasuk ahli politik kerana didakwa melanggar peraturan Covid-19 pada masa tersebut yang mengehadkan sebarang acara sosial untuk mengekang penularan wabak berkenaan.
"Saya tahu ramai yang berang kerana mereka berpendapat kepimpinan saya yang membuat peraturan itu sendiri gagal mematuhi protokol tersebut,” katanya ketika memberi penjelasan tentang skandal parti sosial itu di Parlimen.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal atas tindakan tersebut, namun mendakwa ia kononnya sebahagian daripada ‘aktiviti kerja’ hingga mengundang ketawa sinis daripada pihak pembangkang yang mendengar penjelasan berkenaan.
"Saya hadir parti di taman itu selepas jam 6 petang pada 20 Mei 2020 hanya untuk mengucapkan terima kasih kepada kumpulan staf sebelum kembali semula ke pejabat kira-kira 25 minit kemudian untuk kembali bekerja.
"Setelah difikirkan semula, saya sepatutnya tidak membiarkan majlis itu berlangsung,” ujarnya lagi.
Pengakuan dan permohonan maaf itu bagaimanapun gagal membersihkan namanya apabila kesemua pemimpin parti pembangkang menuntut pengundurannya malah pemimpin Parti Konservatif di Scotland turut menjadi tokoh politik pertama di bawah parti pemerintah yang berpendapat Johnson sepatutnya melepaskan jawatannya.
Sementara itu, pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer dengan lantang menggelar Johnson yang dilantik pada Disember 2019 selepas berjanji untuk merealisasikan Brexit sebagai penipu.
"Parti sudah berakhir wahai Perdana Menteri. Dakwaan kononnya beliau tidak tahu ia adalah sebuah parti yang telah menyinggung perasaan orang ramai adalah sangat tidak masuk akal,” tegasnya.
Kemarahan awam semakin meningkat sejak ITV News mendedahkan kandungan e-mel yang mendakwa Johnson bersama isterinya, Carrie ‘beramah mesra’ dengan kira-kira 40 staf di Downing Street selepas pembantunya, Martin Reynolds memberi jemputan yang turut meminta mereka membawa minuman alkohol sendiri.
Ketika ini, penduduk di London juga mendesak Johnson berundur walaupun beliau mengaku atas kesilapannya.
"Beliau seperti terpaksa membuat permohonan maaf itu. Johnson sewenang-wenangnya melanggar peraturan Covid-19 sedangkan kami diarahkan untuk mematuhi protokol tersebut.
"Saya berasa beliau boleh membuat keputusan tepat dengan meletak jawatan,” kata pemandu pelancong, Antony Robbins.
Seorang lagi penduduk di kota London, Vicar Majorie Brown berkata, Johnson sudah kehilangan ‘hak moral’ kerana pengundi tidak lagi percaya pemerintah akan bercakap benar.
"Ia adalah tindakan ‘double standard’ dan tidak boleh diterima. Perbuatannya telah mencetuskan kemarahan seluruh rakyat dan ia pasti membawa padah kepada Boris Johnson,” ujar seorang lagi individu yang enggan identitinya didedahkan. - AFP