LABUAN - Jerebu menyelubungi Labuan sejak Rabu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.
Walaupun hujan lebat pada awal pagi, bacaan IPU kekal pada tahap sederhana iaitu 88 pada Rabu dan 58 setakat jam 4 petang Khamis.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan, Amir Hamzah Musa berkata, keadaan itu berlaku disebabkan angin kencang yang membawa zarah-zarah halus dari luar Labuan.
"Pencemaran zarah halus adalah mikroskopik. Ia adalah zarah amat kecil yang boleh disedut dan tidak baik untuk kesihatan.
"Kami telah melakukan rondaan di sekitar pulau ini untuk memeriksa sama ada terdapat pembakaran terbuka atau kebakaran hutan namun tidak menemui sebarang insiden sedemikian,” katanya.
Amir menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29A atau 29B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Bacaan IPU 0-50 dianggap baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas adalah berbahaya.
Orang ramai terutama pemandu turut menyedari keadaan kualiti udara yang kurang baik.
"Saya menunggang basikal awal pagi semalam (Rabu) serta hari ini (Khamis) dan terkejut kerana jarak penglihatan yang rendah,” kata Michael Lim yang risau dengan keadaan itu kerana dia menghidap penyakit asma.
Fadillah Khalid pula berkata, dia berdepan kesukaran melihat bola ketika bermain golf bersama rakan di Kelab Golf Antarabangsa Labuan. - Bernama