Pengeluaran KWSP bantu keperluan ekonomi rakyat

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pengeluaran caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bukan sahaja dapat membantu rakyat malah menggerakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan Social Wellbeing Research Centre (SWRC) Universiti Malaya, wang KWSP yang dikeluarkan digunakan untuk berbelanja, membayar hutang termasuk membeli gajet untuk anak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Iklan
Iklan

"Rekod menunjukkan kerajaan hanya boleh membantu menyediakan gajet untuk 150,000 murid yang mengikuti PdPR tetapi baki 4.8 juta lagi murid, ibu bapa mereka menggunakan wang KWSP untuk membeli kelengkapan gajet bagi tujuan itu," katanya ketika Program Berani Semuka bertajuk 'KWSP: Lega sekarang, susah kemudian?' yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Program tersebut turut menampilkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebagai pendebat.

Iklan

Asyraf Wajdi berkata, ia membuktikan jika wang itu berada di tangan rakyat sudah pasti ia akan dibelanjakan dan membantu pertumbuhan KDNK negara.

"Kajian Malaysia Institute Economic Research (MIER) buat jangkaan satu peratus pertumbuhan KDNK akan beri 70,000 peluang pekerjaan, maka mereka yang hilang pekerjaan ketika tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berpeluang untuk bekerja semula," katanya.

Iklan

Beliau berkata, seramai 140,608 hilang pekerjaan, 500,000 golongan M40 sudah jadi B40, manakala 10,680 jatuh muflis setakat Mac 2020 hingga julai 2021 serta 100,00 premis perniagaan telah ditutup.