PUTATAN - Usaha mengukuhkan kawalan keselamatan perairan Sabah akan terus dipertingkatkan dengan beroperasinya sebuah lagi kapal pesisir pantai (LMS) baharu yang akan ditauliahkan pada 28 Januari ini.
Kapal LMS yang terbaharu ini adalah sebagai tambahan kepada tiga LMS yang diterima Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar sebelum ini iaitu Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik yang ditauliahkan antara 6 Januari 2020 hingga 22 Oktober tahun lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, terdapat empat LMS yang juga merupakan aset terbaharu milik TLDM.
"Penerimaan empat buah LMS merupakan aset terbaharu milik TLDM di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dan ia cukup bersejarah.
"Tiga kapal LMS iaitu KD Keris, KD Sundang dan KD Badik serta yang terbaharu KD Rencong yang belum ditauliahkan lagi, dijangka ditauliahkan pada 28 Januari ini," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi beliau di Markas Kelima Infantri, Kem Lok Kawi di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.
Hishammuddin berkata, penerimaan empat LMS itu adalah antara perancangan TLDM berhubung lima teras kapal armada yang dikurangkan daripada 15 kelas kepada lima kelas.
"LMS yang kita terima kali ini merupakan satu di antara lima yang telah menjadi sasaran kita.
"Kesemua LMS yang kita rancang telah selesai diterima oleh TLDM. Saya harap dengan apa yang kita jayakan ini akan dapat membantu keselamatan di Sabah," katanya.
Bagaimanapun, berhubung keselamatan di negeri ini, Hishammuddin berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama agensi keselamatan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam lawatannya ke Tawau pada Jumaat.
"Saya akan bincang dengan agensi-agensi keselamatan dan juga ATM esok di Tawau untuk memikirkan lagi apa yang kita boleh lakukan (keselamatan)," katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berhubung isu pemalsuan sijil digital vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara itu.
"Bagi saya, kita tidak akan berkompromi pemalsuan sijil sama ada vaksinasi atau sijil saringan Covid-19 kerana ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.
"Saya gembira apabila pihak berkuasa pun mengambil tindakan terhadap individu tertentu tetapi siasatan mesti diteruskan," katanya.
Katanya, perbuatan itu disebabkan ketamakan individu mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap musibah yang melanda dunia.