KDN disaran kaji rancangan tamatkan Ops Benteng

Iklan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengkaji semula rancangan untuk menamatkan Operasi Benteng (Ops Benteng) pada Jun ini. - Foto Bernama (Gambar kecil: Muhammad Fuad)

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengkaji semula rancangan untuk menamatkan Operasi Benteng (Ops Benteng) pada Jun ini.

Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, banyak perkara perlu dilihat semula sebelum Ops Benteng yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) itu dihentikan.

Iklan
Iklan

"Banyak kelebihan Ops Benteng sebenarnya, bila PDRM (Polis Diraja Malaysia) bergabung dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), kelebihan kita pada aset yang akhirnya dapat mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk isu PATI (pendatang asing tanpa izin) dan juga penyeludupan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, penamatan operasi berkenaan juga bergantung kepada man power dan persediaan aset oleh KDN.

Iklan

"Apakah KDN mempunyai aset secukupnya bagi kawalan sempadan dan mampu bertindak sendirian jika berlaku sesuatu?

"Apakah sempadan kita sudah dilengkapi CCTV (kamera litar tertutup) bagi mengekang pencerobohan?” soalnya.

Iklan

Jelas Muhammad Fuad, sempadan negara yang mudah diceroboh ditambah dengan insiden anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) diserang di pos sempadan Malaysia-Thailand yang menyebabkan seorang anggota PGA terbunuh pada November tahun lalu, harus dijadikan iktibar.

"Biarlah Ops Benteng ini diteruskan contoh di perairan Sabah dan Sarawak, terlalu banyak ancaman yang perlu ditangkis seperti lanun, pengganas dan sebagainya. Sudah tentu operasi ini mampu mengekang anasir berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, ATM sebagai penyelaras operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Benteng bersama-sama PDRM, Maritim Malaysia dan agensi keselamatan lain diwujudkan bagi mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi PATI termasuk mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan Covid-19.