'Saya tak ada bola kristal'

Iklan
Dell Akbar Khan - Foto FB FAM

"SAYA tak ada bola kristal,”

Itu reaksi Pengerusi Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan yang meminta peminat bola sepak negara untuk bersabar dan memberi lebih masa kepada badan yang ditubuhkan bagi mengemudi bedah siasat tersebut melengkapkan hasil siasatan.

Iklan
Iklan

"Saya tahu peminat bola sepak tidak sabar untuk mengetahui hasil siasatan dan penambahbaikan untuk skuad kebangsaan, tapi perlu diingat ini mesyuarat pertama baharu bermula semalam.

"Laporan yang diserahkan kepada kami 'masih lagi panas', jadi bagilah kepada kami semua untuk bernafas terlebih dulu kerana banyak perkara yang perlu dilihat dan diperhalusi.

Iklan

"Saya jangka ada beberapa lagi yang memerlukan penambahbaikan untuk skuad Harimau Malaya selepas ini, cumanya ketika ini saya tak ada bola kristal.. at this stage tak boleh cakap apa kerana kami baharu sahaja bersidang dan perlu check perkara asas-asas dia terlebih dulu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dell Akbar berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini hasil bedah siasatan berikutan prestasi hambar skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Disember lalu.

Iklan

Pada 7 Januari lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengumumkan pelantikan Datuk Dell Akbar, bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur sebagai Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Pelantikan Dell Akbar Khan yang pernah menjawat jawatan selaku Setiausaha Agung FAM dan pernah bergelar pengurus skuad kebangsaan pada era-90an dilihat bersesuaian berdasarkan kepada kredibiliti serta pengalaman yang dimilikinya.

Untuk rekod, badan siasatan bebas berkenaan telah pun bersidang buat kali pertama di Wisma FAM pada Rabu dengan dipengerusikan oleh Dell Akbar Khan.

Dell Akbar Khan mempengerusikan mesyuarat pertama badan bebas berkenaan - Foto FB FAM

Mesyuarat turut dihadiri beberapa individu melibatkan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli; bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa; bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam; bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell.

Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat sulung badan bebas itu adalah membincangkan terma rujukan badan itu dalam mengumpul dapatan dan menilai laporan prestasi pasukan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan.

Tambah Dell Akbar lagi, buat masa ini badan tersebut tidak boleh memberikan tempoh masa bagi menyiapkan hasil siasatan berkenaan kerana masih terdapat beberapa lagi fasa yang perlu dilalui.

"Sebagai makluman juga, pada mesyuarat pertama kita semalam (Rabu), kita lebih banyak membincangkan mengenai perkara-perkara ‘asas’ terlebih dahulu sebelum meneruskan lebih lanjut pada mesyuarat-mesyuarat akan datang.

"Buat masa sekarang apa yang boleh saya katakan adalah perjalanan proses siasatan masih panjang kerana adakan ada lagi mesyuarat-mesyuarat lain selepas ini.

"Justeru, kepada peminat bola sepak negara di luar sana, saya akui semua berhak memberikan pandangan dan komen masing-masing, saya sekali lagi minta semua bersabar kerana kami berusaha memberikan hasil yang terbaik untuk skuad negara,” katanya.