LONDON - Permaisuri Britain Ratu Elizabeth Il telah melucutkan semua gelaran kehormat ketenteraan Putera Andrew dan peranan Dirajanya dalam badan amal dan kumpulan sivik lain.
Pengumuman rasmi oleh Istana Buckingham pada Khamis itu dibuat di tengah-tengah kemarahan awam yang semakin meningkat berhubung dakwaan serangan seksual yang dilakukan putera raja berkenaan.
Duke Of York itu didakwa melakukan penderaan seksual terhadap seorang gadis remaja warga Amerika Syarikat yang dibekalkan kepadanya oleh Pengurus Dana Amerika, Mendiang Jeffrey Epstein.
Lebih 150 tentera laut dan veteran tentera Britain telah menulis surat kepada Permaisuri meminta Baginda melucutkan semua pangkat dan gelaran ketenteraan anak keduanya.
Ia selepas seorang hakim Amerika memutuskan bahawa tindakan undang-undang dakwaan serangan seks terhadap putera raja boleh diteruskan.
Duke Of York, 61, diasak dengan tekanan sejak Ogos lalu apabila Virginia Giuffre, 38 memfailkan kes di Mahkamah Persekutuan Manhattan.
Putera kedua Ratu Elizabeth itu didakwa melakukan serangan seksual terhadap Giuffre ketika wanita itu masih di bawah umur lebih 20 tahun lalu.
Wanita itu mendakwa Andrew melakukan perbuatan itu di rumah Epstein di New York serta pulau peribadi milik mendiang di Kepulauan Virgin.
Dakwanya lagi, Andrew turut melakukan penderaan seksual di rumah sosialit Ghislaine Maxwell di London.
Epstein sebelum itu meninggal dunia di penjara Manhattan pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks kanak-kanak, yang mana kematian Epstein diputuskan Koroner New York sebagai bunuh diri. - Awani