KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat kesal dengan kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.
"Kami amat dukacita dan simpati dengan mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian tembakan itu,” kata Dr Mahathir dalam hantaran laman Facebook beliau hari ini.
Beliau berharap kerajaan New Zealand akan menangkap pengganas terlibat dan mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang negara itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Angka korban Christchurch meningkat 49 orang
Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengambil segala langkah yang boleh diambil bagi memastikan rakyat Malaysia di New Zealand selamat.
Dua rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood itu dan mereka kini dirawat di hospital.
Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan yang tidak berperikemanusiaan ke atas orang awam yang tidak bersalah itu.
Ia berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sentiasa berhubungan dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan memantau rapi keadaan itu.
Menurut laporan media, kejadian tembakan itu, yang berlaku pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia), meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. - Bernama