Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil langkah proaktif menggerakkan skuad sukarelawan KEDA dan bersamasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta agensinya bagi membantu mangsa terjejas akibat banjir di Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib berkata, skuad sukarelawan yang diaktifkan dengan nama Skuad Prihatin KEDA itu disertai oleh 30 warga kerja KEDA dalam misi kali ini.
Menurutnya, skuad berkenaan turun padang membantu membersihkan rumah dan menyisihbersihkan barangan serta perkakasan mangsa-mangsa banjir.
"Sebelum ini, KEDA menerusi Kolej KEDA turut menghantar skuad sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan staf ke misi bantuan banjir di dua lokasi di Selangor.
"Saya berharap kehadiran skuad kami ini dapat membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada program sama, beliau turut meyampaikan sumbangan 100 set telekung kepada pengerusi masjid di kawasan berkenaan untuk diagihkan kepada penduduk setempat yang memerlukan.
Sementara itu, Muhammad Zulfahmie Che Mat, 32, berkata, dia terpanggil untuk menyertai misi berkenaan apabila melihat kesukaran yang dialami mangsa-mangsa banjir untuk kembali meneruskan kehidupan.
"Apabila tiba di kawasan bencana, saya sangat terkejut melihat keadaan mereka di depan mata saya sendiri.
"Mereka benar-benar terjejas berbanding apa yang saya bayangkan di fikiran sebelum ini. Saya juga rasa bertuah dapat membantu mereka memulihkan keadaan,” katanya.