Sorok rokok seludup di sebalik bedak, bawang

Iklan
Taktik sindiket penyeludupan sentiasa berubah memandangkan permintaan terhadap rokok seludup sentiasa tinggi. (Gambar kecil: Hazri)

KLANG - Menyorok rokok seludup di sebalik barangan kosmetik dan bawang antara modus operasi digunakan sindiket penyeludupan yang dibongkar anggota penguat kuasa sepanjang tahun lalu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, kegiatan haram itu dikesan hasil penahanan kontena berisi rokok seludup di sekitar Klang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati rokok tidak bercukai itu dicampur atau diletakkan di bahagian tengah yang dikaburi dengan barangan sah lain.

"Kemungkinan kontena itu dibawa masuk menerusi pelabuhan di daerah ini serta diikrarkan sebagai barangan lain.

Iklan

"Ada antara kontena yang dirampas didapati meletakkan atau mencampurkan rokok seludup pelbagai jenama dengan bedak, bawang, gandum dan beg, atau pakaian terpakai," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Hazri berkata, pihaknya percaya taktik sindiket sentiasa berubah memandangkan permintaan terhadap rokok seludup sentiasa tinggi.

Iklan

Menurutnya, terdapat juga operasi sindiket mengambil atau memunggah rokok menggunakan bot pancung daripada kapal-kapal besar di tengah laut.

"Bot tersebut kemudian mendarat di mana-mana pesisir pantai sebelum diteruskan pengedaran menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire dan Toyota Estima.

"Tonto air atau dikenali sapu air yang menyamar sebagai nelayan atau pemancing juga diupah sindiket bagi memerhatikan pergerakan pihak berkuasa," ujarnya.

Jelas Hazri, sepanjang tahun lalu, pihaknya merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM9.45 juta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejumlah barangan dianggarkan bernilai RM12.4 juta telah dirampas PPM Pelabuhan Klang.

Katanya, ia membabitkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Dadah Berbahaya, Akta Kawalan Dadah Kosmetik serta Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).