Tidak bawa MyKad boleh dipenjara, denda

Iklan
JPJ turut mengeluarkan saman terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas. - Foto JPJ Pahang

KUANTAN - Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membawa kad pengenalan atau MyKad ketika berada di luar rumah bagi memastikan identiti mereka dapat dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, Mohamad Abdullah berkata, kegagalan mengemukakan MyKad semasa diperiksa juga boleh dikenakan tindakan.

Iklan
Iklan

"Mereka yang didapati gagal mengemukakan MyKad dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Bagi peruntukan di bawah peraturan ini, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali." katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, JPJ Negeri Pahang dan JPN Negeri Pahang mengadakan Ops Khas secara kolaboratif di sekitar daerah ini.

Operasi itu diketuai Pegawai Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPPP), Amirudin Ahmad bersama 13 anggota, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN pula diketuai Shahzan Amir Mohd Noor bersama tiga pegawai.

Iklan

Dalam operasi itu, Mohamad berkata, pihaknya melakukan semakan terhadap 118 pemegang MyKad dengan menggunakan peralatan unit terminal mudah alih.

"Hasil semakan itu, dua amaran telah diberikan kepada individu kerana menggunakan MyKad yang telah rosak dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Dua lagi tangkapan membabitkan warga Kemboja kerana tiada dokumen pengenalan diri. Mereka telah diserahkan ke Jabatan Imigresen Pahang," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar berkata, sebanyak 243 kenderaan dan pemandu telah diperiksa dalam operasi tersebut.

Pihaknya juga mengesan beberapa kesalahan berkaitan lalu lintas iaitu 73 kes tidak memiliki lesen memandu dan 49 kes cukai jalan tamat tempoh.

"Sebanyak 43 kes kesalahan tiada perlindungan insurans, selain 11 kesalahan teknikal dan 24 lain-lain kesalahan menjadikan jumlah keseluruhan ialah 200 kes daripada 83 buah kenderaan yang diambil tindakan," jelas beliau.