Syor barang kes libat wang disimpan di BNM: JKMR

Iklan
Tan Sri Dr Rais Yatim

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mengesyorkan semua barang kes melibatkan jumlah wang yang besar perlu disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia bagi mengelakkan berlaku kecurian atau membawa lari wang berkenaan.

Iklan
Iklan

"Baru-baru ini, berlaku isu barang kes hilang semasa dalam jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan wang lebih AS$6 juta yang diletakkan dalam bilik besi tahanan.

"Isu ini sangat berat dan tidak boleh dibiarkan sahaja. Malah dengan desakan kami, kes ini telah dihadapkan ke mahkamah pada 4 Januari lalu,” katanya ketika sidang akhbar secara dalam talian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada Jumaat.

Iklan

Turut bersama dalam sidang akhbar tersebut Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Dalam pada itu, Rais berkata, pihaknya juga turut menekankan semua kes rasuah perlu disiasat secara adil dan saksama mengikut prosedur serta berhemah dalam menyiasat dan soal jawab.

Iklan

Menurutnya, setiap individu yang menghadapi pertuduhan harus diberi layanan yang sama rata.

"Pada masa ini ada pihak-pihak yang ditangkap kemudian dibawa ke mahkamah ada yang berpakaian oren tetapi ada pula yang tidak pakai langsung, ada juga yang pakai blazer (coat) seolah-olah masuk untuk bermesyuarat.

"Jadi kami menzahirkan pandangan jika baju oren itu atas apa alasan yang diguna biarlah semua kena dan tidak dipilih antara satu pihak dan pihak yang lain,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi jenayah berprofil tinggi yang mengambil masa terlalu lama itu melibatkan mahkamah.

Namun, masih ada ruang muafakat antara pendakwa raya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau SPRM untuk berbincang bagi menangani kes berprofil tinggi.

"Mereka boleh berbincang untuk menentukan tempoh yang munasabah dari satu peringkat perbicaraan Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan.

"Jadi dalam falsafah perundangan yang kita pakai, keadilan yang dilewatkan juga adalah keadilan yang dinafikan.

"Maka dengan cara itu Malaysia akan dihormati bukan sahaja oleh rakyat tetapi orang luar,” jelasnya.