MELAKA - Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas dua pertuduhan mendera anak kekasihnya, Ogos tahun lalu.
Chan Wan Ting, 31, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan menekap kepala mangsa di papan seterika yang masih panas sehingga mengakibatkan kecederaan pada tangan dan muka.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah teman lelakinya di Jalan M-20 Taman Merdeka, Batu Berendam pada jam 10.15 pagi, 2 Ogos tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan cili hingga mengakibatkan kecederaan di mulut dan kedua-dua pipi kanak-kanak itu di Jalan M10 berhampiran sebuah tadika di Taman Merdeka antara jam 7 hingga 8 pagi, pertengahan tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda RM20,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Liyana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili Casdian Anthony.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 15 Februari depan.