Lima lori pasir bawa lebih muatan ditahan

Iklan
Pegawai dan anggota BSPTD Kuantan dan JPJ Pahang mengesan lima lori pasir yang membawa lebih muatan dalam Ops Perdagangan (Timbang Berat) yang diadakan pada Khamis.

KUANTAN - Polis menahan lima pemandu lori yang dikesan membawa muatan melebihi had dibenarkan dalam Ops Perdagangan (Timbang Berat) yang diadakan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penahanan terhadap lima pemandu itu dibuat selepas menjalankan pemeriksaan ke atas 14 lori di beberapa laluan di sekitar daerah ini.

Iklan
Iklan

"Lori yang ditahan ini membawa muatan pasir dan ada di antaranya didapati membawa muatan berlebihan sehingga 86 peratus daripada had muatan yang dibenarkan.

"Jadi, kita tahan pemandu berusia 26 hingga 60 bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 57 (1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, operasi yang diadakan itu melibatkan sembilan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan bersama tujuh pegawai serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang.

Menurutnya, tumpuan operasi dijalankan di tiga laluan utama kenderaan berat khususnya lori iaitu di Jalan Kuantan- Gambang, Jalan Kuantan-Segamat dan Jalan Panching.

Iklan

Selain itu, Wan Mohd Zahari memaklumkan sebanyak 28 saman dan notis dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan lalulintas membabitkan 26 kenderaan diperiksa termasuk lori.

"Operasi sebegini akan sentiasa diadakan dari masa ke masa bagi memastikan keselamatan setiap pengguna jalan raya selain mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.