'TNB tunai impian arwah ayah'

Iklan
Norismah (dua dari kanan) bersama tiga anaknya di hadapan rumah baharu mereka di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah.

BATU GAJAH -"Arwah ayah pernah menyatakan hasrat mahu menyediakan rumah baharu untuk kami, sekarang hasrat itu dapat dilaksanakan. Walaupun ayah sudah tiada, kami adik-beradik tetap gembira," kata Norfatihah Norazam, 19.

Norfatihah berkata, Allahyarham ayahnya, Norazam Abdul Rahman, 49, terpilih sebagai penerima bantuan rumah baharu di bawah projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, hasrat Allahyarham untuk melihat rumah itu siap tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada Oktober tahun lalu selepas menderita akibat strok selama enam tahun.

"Ayah sangat berbesar hati dengan bantuan ini sampaikan tidak sabar-sabar menunggu rumah baharu siap.

Iklan

"Sebelum pergi, dia ada kata nak hias rumah ini, biar nampak cantik dan selesa untuk kami tinggal bersama," katanya ketika ditemui pemberita sempena majlis penyerahan rumah berkenaan di Kampung Tersusun Sungai Terap, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin.

Iklan

Sementara itu, isteri Allahyarham, Norismah Ismail, 49, berkata, rumah lama yang menjadi tempat berteduh bersama tiga anak masing-masing berusia 19, 16 dan 12 tahun sudah tidak selamat lagi untuk didiami.

Katanya, rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu telah reput dimakan anai-anai dan hanya menanti waktu untuk roboh.

"Arwah terlantar sejak enam tahun lalu dan selama itu dia tidak dapat bekerja, saya banyak bergantung kepada duit bantuan bulanan dan pencen ilat suami untuk uruskan perbelanjaan rumah.

"Alhamdulillah kami berasa syukur sangat-sangat dapat rumah ini. Jika arwah masih ada, sudah tentu dia orang paling gembira," katanya.

Kediaman tiga bilik itu mula diduduki keluarga berkenaan sejak tiga minggu lalu.