PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan beliau tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan Meningococcal serta Meningitis (MM) ketika mengerjakan ibadah umrah, Mac tahun lalu.
Pegawai Khasnya, Mohd Naaim Mahmod berkata, Muhyiddin dan delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air manakala MM tidak diwajibkan.
"Dakwaan Ustaz Abu Syafiq bahawa Muhyiddin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan MM ketika mengerjakan ibadah umrah adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pada ketika itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin Covid-19 atau lain-lain untuk pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.
"Lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian RT-PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan serta hasil ujian semua delegasi negatif Covid-19," katanya.
Beliau berkata, pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam gelembung perjalanan yang telah ditetapkan.
Sebelum ini, pendakwah tersebut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad untuk menyiasat Menteri Alam Sekitar dan Air yang didakwa mengerjakan ibadah umrah tanpa vaksinasi MM.
Ia sebagai reaksi balas terhadap Idris yang menyelarnya di atas pengakuan melakukan ibadah dan membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi MM.