Selamat berehat Shebby

Iklan
Suasana pilu pada majlis persemadian mendiang Serbegeth Singh yang merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu di Shamshan Bhoomi Hall pada Jumaat. - Foto Bernama

JASAD bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh yang meninggal dunia Rabu lepas selamat disemadikan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi di Shamshan Bhoomi Wake Hall, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jasad Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby yang dibawa dari Nirvana Memorial Center di Taman Nesa Skudai, Johor pada 7.20 pagi tiba di pusat pembakaran mayat itu pada jam 11.30 pagi.

Iklan
Iklan

Suasana pilu ternyata menyelubungi pekarangan krematorium itu apabila ahli keluarga dan sahabat handai mendiang tidak dapat menahan kesedihan sejurus jasad Shebby yang diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi tiba di sini.

Mereka yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang yang juga merupakan tunjang utama pertahanan Kuala Lumpur pada era 80-an sebelum pengurusan jasadnya disempurnakan kira-kira pukul 3.57 petang.

Iklan

Selain isteri mendiang, Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anaknya Natassha Kaur dan Sonuljit Singh turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada figura bola sepak negara itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Reaksi pilu balu mendiang Serbegeth Singh, Harbans Kaur (dua, kiri) ketika upacara persemadian bekas pemain bola sepak kebangsaan itu di Shamshan Bhoomi Hall pada Jumaat. - Foto Bernama

Turut hadir menziarahi adalah rakan seperjuangan mendiang iaitu legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh: bekas pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh: jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan dan bekas pemain Kuala Lumpur, T Gopinath Naidu.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita berkata, pemergian Shebby bukan sahaja diratapi seluruh peminat bola sepak tempatan zaman dahulu, malah generasi kini juga pastinya merindui pandangannya serta kritikannya terhadap sukan nombor satu negara itu.

"Saya telah menziarahi keluarganya dan bersyukur kerana semangat mereka begitu kuat, saya pasti mereka tentu bangga dengan pencapaian mendiang sepanjang hayatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin pula menyifatkan bekas rakan sepasukannya ketika mewakili Pahang pada tahun 1991 dan 1992 serta skuad Harimau Malaya itu sebagai tokoh berjiwa besar serta sangat berdedikasi dalam bola sepak.

"Saya sangat terkejut dengan pemergiannya kerana mendiang sememangnya seorang yang sangat cergas. Selain itu, mendiang juga sering bertukar pendapat mengenai cara memajukan bola sepak negara setiap kali kami berhubung,” katanya.

Gopinath yang pernah satu pasukan bersama Shebby ketika beraksi untuk Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan 1994 pula menganggap Shebby sebagai ‘universiti bola sepak’ kerana pengetahuan luasnya terhadap sukan itu dan berbesar hati mengenali mendiang yang banyak berkongsi tips meningkatkan prestasinya dahulu.

Anak mendiang Serbegeth Singh, Sonuljit Singh (tiga, kiri) ketika upacara persemadian bekas pemain bola sepak kebangsaan itu di Shamshan Bhoomi Hall pada Jumaat. - Foto Bernama

Rabu lepas, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan Shebby meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, Johor kira-kira 7.30 malam.

Mendiang Shebby beraksi dalam skuad kebangsaan dari tahun 1982 hingga 1991, serta pernah menyarung jersi negara dalam Kejohanan Sukan Asia 1982, 1986 dan 1990 selain membantu negara memenangi pingat emas di Sukan SEA 1989 Kuala Lumpur.

Selain itu, mendiang yang juga generasi emas skuad Kuala Lumpur ketika membantu pasukan itu memenangi hatrik Piala Malaysia dari tahun 1987 hingga 1989 pernah beraksi bersama skuad bola sepak Negeri Sembilan dan Perak pada era 90-an.

Selepas bersara sebagai pemain, mendiang mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula tahun 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports serta ESPN Asia selain pernah berkhidmat sebagai Penasihat Global di Blackburn Rovers pada tahun 2012 dan Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT). - Bernama