BEREGU professional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii meneruskan kempen Terbuka India 2022 selepas mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir.
Yew Sin-Ee Yii yang merupakan pilihan ketiga kejohanan tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan tuan rumah Ishaan Bhatnagar-Sai Pratheek dengan kemenangan straight set 21-7 dan 21-7 dalam tempoh 19 minit.
Iklan
Iklan
Cabaran sebenar bakal dihadapi beregu yang menghuni ranking ke-11 dunia apabila dijadual bertemu gandingan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi separuh akhir esok.
Turut mara ke separuh akhir ialah pasangan beregu campuran profesional Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang menumpaskan pasangan Rusia Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina secara straight set, 21-10 dan 21-14 dalam permainan yang memakan masa selama hampir setengah jam.
Pasangan yang berada di ranking kesepuluh dunia itu akan turun menentang pasangan senegara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang juga lolos ke sepearuh akhir selepas menumbangkan pasangan tuan rumah Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan, 21-10, 21-13 dalam perlawanan yang berlangsung selama 23 minit.
Bagaimanapun, hasrat untuk melihat pasangan beregu campuran baharu, Chan Peng Soon-Valeree Siow turut sama mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada pilihan kedua dari Russia, Radion Alimov-Alina Davletova.
Peng Soon yang membentuk gandingan baru bersama pemain muda, Valeree tumpas straight set 14-21, 13-21 dalam tempoh 29 minit sekalgus menutup aksi pembuka tirai kempen 2022.