SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus menggiatkan potensi eskport Sarang Burung Walet (SBW) negara ke China dalam masa terdekat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, setakat ini, hasil pengeluaran SBW gua negara adalah sebanyak 40 ke 60 tan metrik setahun.
Katanya, potensi SBW gua adalah tinggi kerana harga sarang burung walet mentah gua belum bersih (EBN-RUC) adalah sekitar RM8,000 bagi setiap kilogram.
Beliau berkata, sehingga 2021, terdapat 16,731 premis rumah burung walet dan lima gua pengeluar SBW yang telah berdaftar iaitu di Gua Gomantong dan Gua Madai di Sabah, Gua Silabur dan Gua Niah di Sarawak serta Gua di Pulau Dangli, Langkawi, Kedah.
"SBW gua merupakan satu produk premium hasilan negara yang masih belum diteroka pasaran eksportnya ke negara China yang merupakan negara pengguna SBW gua terbesar di dunia dengan permintaan sebanyak 80 tan metrik setahun.
"Ketika ini, SBW gua mentah belum bersih hanya dieksport ke Hong Kong, Taiwan dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ronald sebelum itu mengadakan tinjauan terhadap operasi di loji pemprosesan Sarang Burung Walet (SBW) Beho Birdnest Sdn Bhd (Beho Birdnest) pada Khamis.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut melancarkan produk SBW gua yang dikeluarkan oleh syarikat Beho Birdnest.
Beho Birdnest merupakan antara pengusaha aktif SBW di Malaysia dan loji berkenaan adalah antara yang berdaftar dengan General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) dan turut mendapat kelulusan mengeksport sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan sarang burung walet belum bersih (EBN-RUC) ke negara tersebut.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, kepentingan untuk memasarkan SBW gua secara terus ke China adalah bagi memastikan produk hasilan negara dapat ditempatkan di pasaran utama di republik tersebut dengan nilai sebenar yang boleh mencecah sehingga RM20,000 bagi setiap kilogram.
Katanya, perkara itu hanya akan dicapai sekiranya ia dipasarkan dengan tahap kualiti yang dipastikan selamat dimakan serta mempunyai daya jejak.
Menurut beliau, MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebelum ini juga telah mewujudkan Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai METS (Malaysia EBN Traceability System) bagi mengukuhkan sistem daya jejak bagi mencapai piawaian global yang turut menjadi salah satu syarat pengeksportan SBW Malaysia ke China.
Permintaan yang sangat tinggi dan khasiat daripada sarang burung ini membuatkan nilai pasarannya yang tinggi dengan jumlah eskport pada tahun 2020 adalah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.2 bilion.
Eksport komoditi SBW juga kekal kukuh di kala negara masih mengharungi penularan pandemik Covid-19.
Negara pengimport utama SBW selain SBW gua dari Malaysia adalah China yang mengimport 80 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport SBW Malaysia.
Sehingga tahun 2021, sebanyak 41 loji SBW di Malaysia telah diluluskan oleh GACC iaitu 38 loji EBN-RC dan 3 loji EBN-RUC.
Bagi memenuhi protokol eksport SBW ke China, DVS telah mengakreditasi dan memberi pentauliahan pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan persijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) kepada 44 loji pemprosesan.