Ancaman Omicron meningkat, pengambilan dos penggalak diperhebatkan

Iklan
Vaksinasi penting untuk menghalang penularan varian Omicron. - Foto AFP

PENULARAN global varian Omicron yang mudah bermutasi dan mula dikesan di Afrika Selatan pada November tahun lalu telah memberi tamparan baharu terhadap usaha menangani pandemik Covid-19.

Beberapa negara di Eropah, Benua Amerika termasuk Amerika Syarikat ketika ini dilaporkan sedang menghadapi gelombang besar varian baharu tersebut.

Iklan
Iklan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis lalu menyatakan pihaknya menjangkakan lebih separuh daripada penduduk Eropah mungkin bakal dijangkiti varian Omicron sekiranya jumlah jangkitan kekal pada kadar semasa.

Menurut WHO, setakat 10 Januari, 26 negara yang berada di rantau berkenaan telah melaporkan bahawa lebih satu peratus daripada populasi mereka dijangkiti Covid-19 setiap minggu.

Iklan

Malah, rantau tersebut juga menyaksikan lebih tujuh juta kes baharu dilaporkan pada minggu pertama 2022.

Dalam pada itu, WHO memaklum bahawa lebih 15 juta kes positif Covid-19 telah dilaporkan pada minggu ini di seluruh dunia dan terdapat berjuta-juta lagi kes dipercayai masih tidak direkodkan.

Iklan

Bagaimanapun, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan vaksin dikenal pasti masih menjadi alat yang berkesan untuk mencegah kematian akibat Covid-19 dan kesan penyakit yang teruk, namun ia masih tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya.

Dalam pada itu, setakat 4 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebanyak 122 kes varian Omicron di Malaysia dengan 117 daripadanya adalah kes import manakala lima adalah penularan kes tempatan.

Meskipun trend harian penularan Covid-19 masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan drastik, namun KKM telah pun mengingatkan rakyat Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya lonjakan kes disebabkan oleh varian tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, meskipun jangkitan varian Omicron setakat ini tidak seteruk Delta namun jika kes meningkat sehingga 30,000, kemasukan ke hospital turut meningkat walaupun hanya pesakit kategori satu dan dua.

Khairy pada 2 Januari lalu memaklumkan bahawa kerajaan ketika ini sedang bertungkus-lumus memperlahankan penularan gelombang Omicron bagi menangani risiko sistem kesihatan awam menjadi lumpuh.

Beliau berkata, Malaysia meletakkan sandaran kepada beberapa 'perisai' ampuh untuk menangani isu seperti pemakaian pelitup muka, sistem pengudaraan yang baik dan termasuk memperluaskan liputan dos penggalak.

Setakat Khamis, Khairy memaklumkan bahawa hampir sembilan juta dos penggalak telah diberikan kepada rakyat Malaysia dan jumlah itu dijangkakan melepasi 10 juta pada minggu depan.

Katanya, kerajaan sedang meningkatkan usaha menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan suntikan dos penggalak antaranya dengan melalui pembukaan semula operasi pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 mega di Lembah Klang bermula Sabtu.

Empat PPV mega itu adalah PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), PPV Axiata Arena Bukit Jalil, PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dan PPV Soka Gakkal, Klang.

Dalam perkembangan lain, WHO pada Jumaat turut mengumumkan kelulusan dua rawatan baharu untuk Covid-19 pada Jumaat untuk mencegah penyakit teruk serta kematian akibat pandemik itu.

Rawatan baharu itu ialah penggunaan ubat artritis baricetinib yang digunakan dengan kortikosteroid untuk merawat pesakit Covid-19 yang kritikal.

Ia menyebabkan kadar kelangsungan hidup lebih baik dan mengurangkan keperluan penggunaan ventilator.

WHO juga mengesyorkan rawatan antibodi sintetik Sotrovimab untuk jangkitan Covid-19 tidak serius dan tidak berisiko tinggi di hospital seperti untuk golongan tua dan individu yang mempunyai kekurangan imun atau penyakit kronik seperti diabetes.