RANTAU PANJANG - Menelan 18 biji ubat sehari bukan lagi sesuatu yang luar biasa buat seorang kanak-kanak di Tasek Bakong di sini selepas dia disahkan mengalami masalah buah pinggang bocor sejak tiga tahun lalu.
Putri Noor Zafrina Batrisya Muhamad Azwan, 8, dikenal pasti menghidap penyakit berkenaan pada tahun 2019 semasa berusia lima tahun apabila sering mengalami kekejangan di bahagian pinggang dan bengkak beberapa anggota badan.
Menurut ibunya, Noor Fadliza Zakaria, 31, anak sulungnya itu sering mengadu sakit pinggang sehingga menghidap demam hampir setiap minggu.
Noor Fadliza yang merupakan ibu tunggal sejak 2018 bagaimanapun reda memberi 18 jenis ubat kepada anaknya itu, antaranya ubat darah tinggi dan buah pinggang supaya dapat menahan sakit dan tidak demam.
"Saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya di Rantau Panjang. Sebelum keluar bekerja pada jam 8.30 pagi, saya akan memastikan Putri makan ubat.
"Jika tidak sempat, saya akan minta bantuan ayah (Zakaria Mohamad) dan ibu saya (Siti Bedah Awang Besar) yang tinggal bersama untuk menguruskan Putri. Mujur ada mereka, bolehlah saya tumpang berteduh di rumah mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Tasek Bakong di sini pada Jumaat.
Noor Fadliza sebelum itu menerima kunjungan wakil Thirdforce Rantau Panjang di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang turut menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas.
Noor Fadliza berkata, bilangan ubat yang diberikan kepada Putri Noor Zafrina adalah berdasarkan jadual diberikan doktor dan ia akan berkurangan dari semasa ke semasa mengikut kondisi badan anaknya itu.
Mereka sekeluarga kini menunggu keputusan hospital untuk melakukan rawatan susulan memandangkan Putri Noor Zafrina perlu menjalani pembedahan di bahagian pinggangnya.
"Minggu depan doktor akan panggil lagi sekali untuk memaklumkan keadaan semasa Putri termasuklah mengenai pembedahan itu.
"Walaupun dua bulan sekali berulang ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), masih ada rutin harian yang perlu dilakukan di rumah seperti membuat ujian air kencing bagi memastikan protein dalam badan Putri adalah normal.
"Langkah berkenaan sangat penting untuk saya mencatatkan dalam buku dan dibawa setiap kali jumpa doktor. Pada mulanya agak sedih dengan semua ini, namun saya reda menghadapinya dengan baik walaupun kadang-kadang menangis juga," katanya.
Ketika ditanya mengenai perwatakan Putri Noor Zafrina, Noor Fadliza berkata, kakak kepada tiga beradik itu merupakan seorang yang periang dan petah berkata-kata.
Bagaimanapun, katanya, Putri Noor Zafrina berubah 360 darjah selepas sakit apabila menjadi pendiam dan banyak terbaring akibat kepenatan serta kelesuan.
"Dia pun jarang nak bermain macam orang lain, sebab akan penat dan sakit pinggang jika bermain. Satu badan akan lenguh, sampai pagi akan menangis.
"Sekarang ini mata pun agak kabur. Minggu depan kami dijadualkan bertemu dengan pakar mata," katanya.
Selain itu, Noor Fadliza juga mendedahkan bahawa anaknya itu mengidamkan untuk memiliki sebuah komputer tablet.
Namun katanya, ia hanyalah harapan buat Putri Noor Zafrina yang dilihat memahami keadaan kewangan ibunya.
Dengan gaji RM1,000 sebulan tidak cukup untuk Noor Fadliza menampung perbelanjaan keluarganya.
"Namun saya bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan melalui akaun 15309-2037-519 (Maybank) atas nama Noor Fadliza.