KOTA BHARU - Seorang warga emas yang menghidap strok maut dalam kebakaran yang melibatkan lima buah di Kampung Panchor, petang tadi.
Menantu mangsa, Haslizan Yacob, 31, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama dua anak berusia setahun dan tiga tahun serta bapa mentuanya.
Katanya, dia hanya menyedari kebakaran itu selepas melihat api dari bilik mentuanya yang menyambar tilam serta sofa berdekatan.
"Api terlalu cepat merebak dan saya tak sempat selamatkan apa-apa kecuali membawa keluar anak-anak.
"Saya terus keluar rumah dan orang ramai cuba masuk selamatkan bapa mentua tetapi tak boleh sebab api terlalu besar.
"Suami, Mohd Norfarizal Ibrahim yang cuba masuk dan cedera pada tangan serta dahi kemudiannya dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tadi.
Dalam kejadian itu bapa mentuanya Ibrahim Ali, 60-an, meninggal dunia selepas gagal diselamatkan kerana api marak.
Manakala Komander Operasi Penolong Kanan, Penguasa Bomba Mohd Fakri Mazlan dari Balai Bomba Pengkalan Chepa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.28 petang dan kebakaran itu melibatkan lima buah rumah separuh kekal.
"Operasi ini melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kota Darul Naim.
"Sehingga kini kami masih melakukan pemeriksaan untuk memastikan semua api telah dipadamkan," katanya.