Kedah ambil iktibar pencemaran sisa kimia di Johor: MB

Iklan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tengah menyampaikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada seorang penduduk pada Program Ramah Mesra Menteri Besar Kedah bersama komuniti perikanan Kuala Jerlun, hari ini. - Foto Bernama

JERLUN - Kerajaan Negeri Kedah sentiasa memastikan kilang yang beroperasi di Kedah memenuhi syarat-syarat yang diitetapkan, khususnya berkaitan pengurusan sisa bahan kimia dan buangan sisa kilang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kejadian pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor menjadi iktibar kepada Kedah agar berwaspada dan mengambil langkah tegas jika ada pelanggaran syarat oleh pihak industri.

Iklan
Iklan

"Setiap kali kita meluluskan lesen pengilang syarat-syaratnya panjang dan mesti dipenuhi terutama dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), kita bukan tengok syarat sahaja tetapi memang kita semak sendiri dan tengok kalau ada bahan kimia dan macam mana dilupuskan bahan itu atau adakah dia bayar kepada pihak ketiga untuk lupuskan.

"Jadi ini semua perlu dibuktikan dan bukan atas kertas sahaja dan kita tengok dan periksa sama ada dia mematuhi garis panduan yang ditetapkan atau tidak,” katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra Menteri Besar Kedah bersama komuniti perikanan Kuala Jerlun di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi menangani isu pencemaran seperti yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.

Kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lepas menyebabkan kira-kira 3,000 orang awam dan pelajar menerima rawatan sementara 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta.

Iklan

Sementara itu, Mukhriz berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan hukuman berat kepada pihak yang melakukan pencemaran kimia supaya kejadian sama tidak berulang.

"Kita nak tindakan itu mesti tegas kalau tidak dia buat lagi, kalau jenis saman sikit-sikit bayar RM5,000 dan RM10,000 tak dak apalah sebab dia untung sehari pun lebih dari tu, kita kena betul-betul hukum dan hantar mesej kepada semua pihak jangan buat macam ni,” katanya.

Pada program sama, Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, menyampaikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada 99 penduduk yang menetap di atas tanah kerajaan hampir 50 tahun di kawasan Kuala Jerlun.

Katanya, dengan LPS itu, penduduk kini boleh tinggal secara sah di atas tanah kerajaan serta berurusan lanjut untuk permohonan geran. - Bernama