Seterra anjur Dialog Penjagaan Warga Emas Islam pertama di dunia

Iklan
Gambar hiasan

SYARIKAT perkhidmatan penjagaan kesihatan Seterra yang memberi tumpuan menaik taraf standard penjagaan warga emas berkonsepkan Islam akan mengadakan Dialog Seterra Penjagaan Warga Emas Islam pertama di dunia yang berlangsung pada 22 Februari hadapan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya berkata, dialog ini bertujuan mencari pendekatan inovatif baharu membentuk konsep atau standard penjagaan warga emas berasaskan Islam.

Iklan
Iklan

"Dengan matlamat menyatukan pendapat mereka yang berpengaruh di dalam ekosistem termasuk wakil badan kerajaan, majlis agama persekutuan dan negeri, pengendali industri, institusi kewangan dan pelabur asing dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, dialog ini akan memupuk kerjasama, mencetuskan idea revolusi dan mendedahkan kemungkinan baharu dalam membentuk persekitaran model perniagaan yang stabil, mengubah persepsi terhadap penjagaan warga emas berasaskan Islam, mencapai standard, penanda aras global serta pembiayaan kewangan dan pengurusan kekayaan dalam industri penjagaan warga emas Islam.

Iklan

"Dialog Seterra akan menjadi pusat pertemuan bagi peserta industri untuk bersidang dan membincangkan mengenai pendekatan inovatif untuk mengoptimumkan kemudahan kesihatan dan kesejahteraan penjagaan warga emas.

"Dialog pertama seumpamanya di dunia ini akan memberi peluang dan akses kepada peserta untuk bertukar-tukar pendapat dan kerjasama yang akan seterusnya merevolusikan konsep penjagaan warga emas pada masa akan datang.

Iklan

"Kami menjemput semua pihak untuk bersama-sama menyertai Dialog Seterra dalam membentuk satu standard penjagaan warga emas baharu di masa depan,” jelasnya.

Menerusi tema ‘Perjalanan mendapatkan Husnul Khatimah’, dialog ini akan membariskan penceramah tempatan dan antarabangsa seperti Mufti dan Hakim dari United Kingdom, Sheikh Dr Sajid Umar; Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Majlis Tarjih Muhammadiyah dari Indonesia, Profesor Dr Syamsul Anuuar.

Dialog ini dianjurkan dengan kerjasama Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia serta sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dialog Seterra menawarkan tempat persidangan lebih 800 peserta yang boleh menyertai secara fizikal atau maya.

Selain itu, Deklarasi Damansara yang bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi pusat penjagaan warga emas berkonsepkan Islam menjelang 2040 akan diumumkan ketika acara itu berlangsung.

Mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi peserta dan menyertai usaha membentuk sistem penjagaan warga emas berkonsepkan Islam untuk masa depan yang akan diadakan pada 22 Februari hadapan boleh mendaftar di www.seterradialogue.com.