i-Citra KWSP: Kerajaan jangan tutup pintu rundingan

Iklan
Dr Asyraf Wajdi Dusuki . FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

IPOH - Kerajaan digesa untuk tidak terus menolak atau menutup pintu rundingan terhadap permohonan pencarum bagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika ini, rakyat benar-benar mengharapkan bantuan wang itu diluluskan bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam era ekonomi negara yang mencabar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun negara sedang bergerak dari fasa pandemik kepada endemik, hakikatnya ramai kalangan rakyat berada dalam keadaan tertekan dengan kehilangan kerja, kehabisan wang simpanan serta peluang yang cukup terbatas untuk mencari pekerjaan baharu.

"Apabila rakyat menuntut RM10,000 ini, kita dapat melihat ia satu bentuk euphoria bermakna rakyat memang terlalu tertekan dan terdesak.

Iklan

"Kebanyakan mereka memerlukan wang sekarang untuk memulakan hidup baru, menyelesaikan dan melangsaikan pelbagai komitmen tertunggak. Ada yang terpaksa berhutang dan mereka tidak mahu berhutang lagi, mereka hendak selesaikan hutang-hutang ini.

"Jadi kita mohon kerajaan janganlah terus tolak dan menutup pintu, dengarlah rintihan dan suara hati rakyat. Permintaan ini (i-Citra) adalah perkara yang benar, real kerana rakyat sedang susah," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran Sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO Negeri Perak di Bangunan UMNO Perak di sini pada Sabtu.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan seharusnya memberi kepercayaan kepada rakyat untuk menguruskan sendiri wang simpanan mereka dan bukannya masih berlegar dengan pandangan bahawa pengeluaran itu akan menggadaikan soal masa depan.

Asyraf Wajdi (tiga, kiri) bersama Menteri Besar Perak, Datuk Ser Saarani Mohamad (tiga, kanan) pada majlis pelancaran Sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO Negeri Perak pada Sabtu.

Katanya, Pemuda UMNO akan terus konsisten memperjuangkan isu itu dengan memberikan pelbagai alternatif kepada kerajaan sehingga ia dipertimbang diluluskan.

"Dulu pun memang payah tapi apabila kita beri tekanan, akhirnya kerajaan membenarkan pengeluaran inisiatif i-Sinar dan i-Lestari.

"Sebab itu kami minta sangat terutamanya Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (meluluskan pengeluaran i-Citra) kerana suasana kali ini lebih besar dengan isu pandemik di luar jangkaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perak menjadi negeri pertama melancarkan jentera sukarelawan Skuad Sabil dengan sasaran pendaftaran seramai 125,000 orang di seluruh negara.

Jelasnya, Sukarelawan Skuad Sabil itu akan menjadi platform kepada golongan anak muda menyumbang khidmat bakti dalam program kemasyarakatan tanpa terikat dengan politik.

"UMNO adalah parti yang mempunyai tradisi untuk sentiasa melakukan program khidmat masyarakat tanpa mengira pilihan raya atau tidak.

"Ketika musibah banjir contohnya, dengan adanya skuad ini kita tidaklah berdepan masalah untuk menggerakkan 300 ke 500 orang ke satu-satu lokasi bagi membantu," katanya.