Kuarantin tujuh hari sahaja jika lengkap vaksin: Khairy

Iklan
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan individu yang telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala yang disahkan positif Covid-19 wajib menjalani perintah pengasingan selama tujuh hari.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagi individu positif Covid-19 yang tidak lengkap, tidak divaksinasi atau bergejala pula perlu menjalani perintah pengasingan selama 10 hari.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat kes, KKM telah membuat penilaian semula tempoh pengawasan dan pemerhatian serta memutuskan ketetapan terkini.

"Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan diberikan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, individu kontak rapat kes Covid-19 termasuk jangkitan varian Omicron yang telah mendapat dos penggalak diperintahkan menjalani kuarantin selama lima hari.

"Manakala individu kontak rapat yang telah lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tidak divaksinasi perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Iklan

"Prosedur ini akan berkuatkuasa pada Ahad, 16 Januari 2022 dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

"Prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai,” jelasnya.

Tambah Khairy Jamaluddin, KKM juga telah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

Justeru, katanya, KKM menyarankan individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak.

"Ia bagi mencapai tahap perlindungan yang optima dan mengelakkan jangkitan Covid-19 yang teruk dan komplikasinya,” katanya.