SHAH ALAM - Penyertaan dalam parti Pas bukan atas dasar individu atau kepentingan diri tetapi demi membawa obor Islam, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau menegaskan, perkara tersebut merupakan baiah dan aku janji setiap ahli Pas.
"Pada posisi mana pun seorang ahli dan pimpinan Pas berada, dia perlu terus memperjuangkan tujuan parti ditubuhkan dan melakukan semua usaha untuk mencapai tujuan tersebut sebagaimana digariskan dalam Fasal ke-5 dan ke-6 Perlembagaan Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas selepas tidak sampai dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Perkara itu disahkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali gus menjawab desas-desus yang bertiup sejak malam Khamis.
Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya punca sebenar penyingkiran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu dalam kepimpinan Pas.
Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, dalam melaksanakan tujuan dan usaha tersebut, seseorang tidak perlu takut dan bimbang terhadap sebarang celaan dan kritikan daripada mana-mana pihak sebagaimana dididik oleh Nabi Muhammad dalam baiahnya bersama para sahabat daripada Yathrib ketika di ambang hijrah baginda.