KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Informasi tular mengenai kewujudan modus operandi baharu penipuan yang dikenali sebagai 'sim swap' adalah tidak benar.
Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan modus operandi itu.
"Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail Paket Pakej Android (APK) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya.
"Apabila pengguna memuat turun aplikasi tersebut, ia akan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Kamarudin berkata, pihaknya mengesan sebaran Informasi palsu yang mendakwa mangsa akan menerima panggilan telefon, kemudian meminta mangsa menekan nombor '1'.
"Informasi palsu berkenaan mendakwa apabila nombor itu ditekan telefon milik mangsa akan digodam dan diambil alih oleh penjenayah untuk memindahkan wang ke akaun lain," katanya.
Kamarudin menasihati orang ramai agar penyebaran informasi tersebut
dihentikan bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya, sebarang pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan, orang ramai bolehlah menghubungi balai polis berhampiran atau CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 / 1599.