Sertai larian sambil beramal

Iklan
Dari kiri: Pengurus Masjid BTHO Nik Ahmad Faris Nik Muhammad, Ketua Biro Ekonomi masjid, Md Fettri Hasbullah, Mohd Faisal dan wakil penganjur bersama, Rohaizad Hassan, pada sidang media, hari ini.

KUALA LUMPUR Buat julung kalinya, Masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) dan Pixel Pro Creative Solutions menganjurkan My BTHO Charity Run bakal berlangsung pada 13 April depan.

Imam 1 Masjid BTHO, Mohd Faisal Mohd Noor, berkata, sebanyak 1,000 penyertaan disasarkan bagi menyertai acara yang terbahagi kepada dua kategori itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, objektif utama penganjuran adalah bagi mengumpul dana bagi sebarang aktiviti masjid juga termasuk usaha untuk pembinaan sebuah dewan terbuka yang memerlukan peruntukan RM500,000.

"Bagaimanapun ia bukan semata-mata untuk mengumpul dana kerana paling penting adalah penyertaan masyarakat khususnya anak-anak kariah masjid dalam mengimarahkan lagi masjid.

Iklan

"Dalam masa sama ia demi mengeratkan silaturahim antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Saya yakin melalui aktiviti ini dapat membina hubungan yang kuat dalam kalangan warga BTHO,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau, idea penganjuran acara berkenaan telah difikirkan sejak dua tahun lalu namun cabaran yang perlu dihadapi membuatkan ia sukar direalisasikan sehinggalahn wujud kerjasama dengan Pixel Pro Creative Solutions.

Iklan

Ujarnya, tidak mustahil acara larian amal tersebut boleh dijadikan sebagai program tahunan berdasarkan sambutan yang menggalakkan yang diterima setakat ini.

"Pihak masjid berterima kasih dengan Pixel Pro Creative Solutions yang menjadi penggerak program ini dan berharap kerjasama ini dapat berterusan,” katanya.

Acara larian bermula seawal jam 7 pagi terbahagi kepada kategori Fun Run sejauh 3 kilometer manakala 10 kilometer untuk kategori terbuka.

Hadiah wang tunai sehingga RM500 disediakan bagi 10 peserta kategori lelaki dan perempuan disediakan termasuk 10 hamper bagi kategori terbuka.

Yuran pendaftaran sebanyak RM35 (Fun Run) dan RM60 (Terbuka) dikenakan bagi setiap penyertaan dan peserta akan diberikan kit larian termasuk jersi rasmi program.

Sebarang maklumat dan urusan pendaftaran boleh menghubungi penganjur di talian 014-3383733 (Haizad Hassan) atau 012-971 4968 (Haiza Shahir).