SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi kempen Gong Xi Ang Pow 2022 menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM100,000 untuk dimenangi sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 1 Februari nanti.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, kempen Gong Xi Ang Pow 2022 dianjurkan di peringkat negeri pada kali ini terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
"Tempoh promosi kempen adalah selama sebulan bermula 15 Januari 2022 hingga 15 Februari 2022,” jelas kenyataan itu pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, setiap negeri menawarkan hadiah menarik kepada lapan pemenang iaitu pemenang pertama akan memenangi TV Pintar 4K 50”, pemenang kedua pula memenangi periuk tekanan tinggi manakala seorang pemenang ketiga ialah basikal lipat serta lima pemenang saguhati menerima ang pow bernilai RM388.
"Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50 dalam tempoh kempen dan akan layak mendapat satu cabutan secara automatik.
"Pendeposit Simpan SSPN yang menyertai kempen ini bukan sahaja berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan, malah akan menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan seperti pemberian dividen yang kompetitif, perlindungan takaful dan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PTPTN menganjurkan kempen tersebut bertemakan ‘Gong Xi Simpan, Kongsi Ong! Hari-Hari Mesti Mau Simpan Tau!’ yang sinonim dengan ucapan Gong Xi Fa Cai iaitu Semoga Kebahagiaan dan Kekayaan Bersamamu.
"Tema ini dipilih bagi menyemarakkan kemeriahan Tahun Baru Cina agar kasih sayang dapat dirasai oleh masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penganjuran kempen itu sebagai tanda penghargaan daripada PTPTN kepada pendeposit yang setia memilih Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk menabung di musim perayaan.
"PTPTN berharap kempen ini akan menarik minat dan menyuntik motivasi masyarakat untuk terus membuat penabungan sekali gus dapat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim masyarakat majmuk selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen Gong Xi Ang Pow 2022, pembukaan akaun simpan SSPN dan penambahan simpanan bolehlah melayari portal www.lovesspn.com untuk maklumat lanjut.