PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui perlu menambah kelajuan permainan selepas terkandas di separuh akhir Terbuka India dalam penampilan sulung di kejuaraan Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
"Masa set pertama saya berjaya ikut speed Lakshya Sen, cuma masa set kedua ketika sedang mendahului 12-10, saya agak hilang fokus sedikit.
"Kemudian pada set penentuan Lakshya Sen tambah speed lagi menyebabkan saya tidak dapat ikut.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati persembahan kerana ini merupakan Super 500 pertama saya.
"Saya ada improve speed sebab masih boleh menyaingi Lakshya Sen di set pertama dan kedua, namun set penentuan ternyata sedikit sukar so selepas ini kena tambah speed lagi," katanya.
Pada Sabtu hajat Tze Yong untuk menyingkap tirai 2022 dengan kejuaraan Super 500 BWF tidak kesampaian apabila pemain berusia 21 tahun itu yang berkedudukan ranking ke-60 dunia akur kepada pengalaman Sen, apabila tewas dalam aksi berlangsung selama satu jam tujuh minit.
Biarpun begitu pemain dari Johor yang tampil dengan momentum positif setelah menjuarai beberapa kejuaraan pada 2021 sebelum ini terlebih dulu memimpin set pertama dengan 21-19.
Namun Sen yang berstatus ranking ke-17 dunia kembali bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua dengan kemenangan 16-21 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum menoktahkan perjalanan Tze Yong, 12-21.