SHAH ALAM - Keluarga salah seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam tragedi tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, iaitu Rahimi Ahmad, akan diterbangkan ke negara itu esok.
Memetik laporan BH Online, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata, penerbangan berkenaan adalah ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahaya.
Iklan
Iklan
"Saya, Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh dan Marzuki sedang uruskan tiket penerbangan ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan anak lelakinya, Roshidi, 42.
"Mereka dijangka bertolak ke Christchurch, New Zealand, esok, dengan butiran lengkap penerbangan berkenaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada portal berkenaan.
Pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia), kejadian tembakan dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 49 nyawa dan puluhan yang lain cedera.
Rahimi, 39, yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu menetap di New Zealand bersama isterinya, Nor Azila Mohammad, 39, yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan serta dua anaknya, Ahmad Razif, 11, dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014.
Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia, Nazril Hisham Omar dan Mohd Tarmizi Shuib, yang dilaporkan cedera terkena tembakan rambang berada dalam keadaan stabil.